Rabu, 9 November 2011

Awas perompak berjaket gelap

MALAYSIA CHRONICLE


KLANG - Satu kumpulan penjenayah yang menggunakan jaket gelap untuk merompak kini diburu polis selepas menyamun dua rumah di Bandar Parklands dan Taman Sri Andalas di sini, pada Ahad lalu dan kelmarin.

Dalam kedua-dua rompakan itu, kumpulan terbabit melarikan wang tunai dan barangan berharga bernilai RM30,000. Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Azman Abd Razak, berkata dalam kejadian pertama di Bandar Parkland, kumpulan itu merompak sebuah rumah pada jam 10.40 malam manakala di Taman Sri Andalas, kumpulan itu melakukan jenayah sama pada jam 11.15 malam keesokan harinya.

“Mangsa dalam kedua-dua kes itu selamat dan tidak dicederakan. Kumpulan terbabit memakai jaket berwarna gelap, sarung tangan dan topeng ski serta membawa parang ketika melakukan jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Azman berkata, perompak terbabit menggunakan kereta Toyota Vios berwarna perak ketika melakukan rompakan dan seorang daripada anggota kumpulan itu berbadan gempal.

“Kumpulan terbabit merompak rumah yang tidak berkunci dan jika ada penghuni, mereka mengikat penghuni rumah itu menggunakan tali sebelum menggeledah mencari barang berharga.

“Dalam kedua-dua kes ini, mangsa berada di rumah dan mereka tidak mengunci rumah,” katanya.

Sehubungan itu, Azman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu menghubungi polis.

“Sekiranya orang ramai ternampak sekumpulan lelaki yang menaiki Toyota Vios berwarna perak dan berperwatakan mencurigakan, saya harap mereka menghubungi dan memberi maklumat kepada polis secepat mungkin,” katanya.Harian Metro

Tiada ulasan: