Sabtu, 5 November 2011

Aidiladha: Trafik beberapa lebuh raya sesak

MALAYSIA KINI

Beberapa lebuh raya dilaporkan mengalami kesesakan trafik pada waktu tengah hari berikutan warga kota yang bercuti sempena sambutan Aidiladha esok.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata kawasan-kawasan tersebut adalah di Lebuhraya New Klang Valley Expressway (NKVE) dari Subang ke Damansara.

Katanya, di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong dan ke Plaza Tol Karak, serta dari Jambatan Sungai Pahang ke R&R Temerloh.

Jurucakap PLUSLine pula memberitahu Bernama enam kawasan di Lebuhraya Utara Selatan mengalami kesesakan dengan trafik bergerak perlahan waktu tengah hari di lebuh raya itu.

azlan"Trafik bergerak perlahan dari Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gopeng, Kuala Kangsar ke kawasan rehat Bukit Gantang hingga ke susur keluar di Juru.

Sementara ke selatan, kesesakan adalah dari Bangi ke Seremban, dari persimpangan Nilai Utara menuju ke Nilai, sementara kawasan-kawasan lain, trafik bergerak lancar seperti biasa, katanya.

Pagi tadi, Bernama melaporkan trafik bergerak lancar menghala keluar ibu negara berikutan warga kota mula meninggalkan rumah kediaman masing-masing untuk bercuti sempena Hari Raya Haji yang akan disambut esok.

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata hanya terdapat beberapa kemalangan kecil yang berlaku di sekitar ibu negara, namun ia tidak menjejaskan keadaan lalu lintas.

"Trafik bergerak lancar sahaja pagi ini, mungkin kerana warga kota sudah meninggalkan rumah masing-masing malam tadi," katanya hari ini.

plus highway 181108Sementara itu, jurucakap PLUSLine berkata trafik bergerak lancar di kebanyakan Lebuhraya Utara Selatan (Plus) kecuali di Plaza Tol Juru pagi ini yang bergerak perlahan disebabkan peningkatan jumlah kenderaan.

"Terdapat dua kemalangan berlaku pukul 7.17 pagi ini di Lebuhraya Elite di KM14.6 dari arah Putrajaya ke Bandar Saujana Putra yang melibatkan sebuah lori yang terbabas akibat terlanggar lampu isyarat.

"Manakala pada 7.13 pagi di Lebuhraya Sungai Petani, Kedah menghala ke Gurun di Km88, terdapat sebuah kereta terbabas di bahu jalan. Bagaimanapun trafik bergerak lancar walaupun terdapat dua kemalangan itu," katanya.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula berkata trafik sesak di empat lebuh raya iaitu di Plus Utara di Bukit Tamban ke susur keluar Plaza Tol Juru, Lebuhraya Pantai Timur sebelum Plaza Tol Gombak ke arah timur, Genting Sempah ke Bentung dari Plaza Tol Bentung ke Bentung Barat dan di Jambatan Sungai Pahang ke RSA Temerloh.

"Trafik dijangka sesak menjelang tengah hari hingga ke petang berikutan warga kota yang akan memulakan perjalanan ke kampung masing-masing untuk menyambut perayaan itu esok," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: