Isnin, 14 November 2011

Adun BN dakwa Sopic tidak telus

Dua Ahli Lembaga Pengarahnya menggunakan kuasa mereka untuk meluluskan pelbagai projek bagi kepentingan peribadi.



SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) (BN-Kuang), Abdul Shukor Idrus hari ini mendakwa urus tadbir Selangor Oil Palm Industries Corporation Sdn Bhd (Sopic), tidak telus.

Beliau berkata terdapat penyelewengan dalam Sopic, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPNS) itu, apabila dua Ahli Lembaga Pengarahnya menggunakan kuasa mereka untuk meluluskan pelbagai projek bagi kepentingan peribadi.

“Syarikat ini telah diberhentikan operasi sejak 2009 lalu ekoran tidak menjana sebarang keuntungan,” jelas Shukor kepada para pemberita dalam sidang media selepas membahaskan Bajet 2012 sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor di sini hari ini.

Beliau mendedahkan Sopic memiliki dana sebanyak RM20 juta dan mendakwa 50 peratus daripadanya telah digunapakai oleh dua Lembaga Pengarah terbabit.

“Pengurus Besar dan Timbalannya meluluskan tender tanpa menggunakan tawaran tender dan sebut harga. Antara projek-projek itu ialah ladang lembu tenusu dan ladang ayam di Ladang PKPS Jelutong Jati, Sabak Bernam serta pembelian mesin kelengkapan ladang ayam bernilai RM5.8 juta.

“Dipercayai, kesemua keuntungan yang dijana antara tahun 2010 hingga 2011 untuk projek-projek terbabit akan di bawa masuk kepada PKPS,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mendedahkan penyelewengan dalam urus tadbir Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) oleh salah seorang bekas pekerjanya, T Sivanesan, 24 tahun. Beliau dipecat pada 9 September 2011 tanpa alasan yang munasabah.

Beliau mendakwa dirinya dipecat apabila cuba membangkitkan isu penjualan pasir kepada pihak atasan dan berdasarkan maklumat yang diterima, wujud campur tangan dalam projek perlombongan pasir dimana Pengarah KSSB terdiri daripada Exco dan Adun negeri Selangor.

Tiada ulasan: