Jumaat, 11 November 2011

Adinda Sultan K'tan saman Malay Mail RM50j

MALAYSIA KINI
Adinda Sultan Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM50 juta terhadap akhbar Malay Mail dan tiga lagi berhubung satu artikel yang mengaitkan beliau dengan kes tembakan terhadap pengawal istana Ramli Mohamed.

Tengku Muhammad Fakhry memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan A S Dhaliwal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau menamakan akhbar Malay Mail Sdn Bhd sebagai defendan pertama, syarikat pencetak The New Straits Times Press (M) Bhd, Ketua Editor Yushaimi Maulud Yahya dan wartawan Marhalim Abbas sebagai defendan kedua hingga keempat.

Menerusi pernyataan tuntutan, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa kesemua defendan bertanggungjawab menerbitkan satu artikel dalam Malay Mail Online News Portal pada 5 Mei, 2010, sehingga menjejaskan reputasi, jawatan dan kerjayanya.

Beliau mendakwa artikel tersebut memberi gambaran seolah-olah beliau tidak berprinsip, tidak boleh dipercayai, penjenayah dan pengkhianat.

Kenyataan itu menyebut berikutan artikel itu, Tengku Muhammad Fakhry dilucutkan gelaran Temenggong, dicaci dan dipandang rendah oleh masyarakat.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa akibat berita palsu itu juga hubungan dengan bondanya Raja Perempuan Kelantan menjadi renggang, dan ia hanya pulih selepas Mahkamah Koroner memberi keputusan terbuka mengenai kejadian tembakan tersebut dan dirinya tidak didakwa oleh pihak polis.

Selain gantirugi berjumlah RM50 juta, beliau menuntut akhbar terbabit menerbitkan permohonan maaf, suatu injunksi supaya tidak mengulangi artikel terbabit, ganti rugi teladan dan kos.

Ketika ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan tersebut, Tengku Muhammad Fakhry berharap kebenaran akan terserlah.- Bernama

Tiada ulasan: