Sabtu, 15 November 2008

Mufti Perlis tulis album lagu-lagu puisi

UTUSAN ONLINE


KANGAR - Sebuah album lagu puisi yang ditulis sepenuhnya oleh Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin akan dilancarkan dalam masa terdekat sebagai satu wadah dakwah kepada masyarakat.

Menurutnya, album itu yang memuatkan lapan lagu puisi yang mempunyai nilai moral yang tinggi akan diterbitkan oleh sebuah syarikat rakaman.

Katanya, beberapa penyanyi puisi terkenal termasuk kumpulan Kopratasa dan penyanyi, Aishah akan menyampaikan lagu puisi yang ditulisnya itu.

''Saya juga akan menyampaikan dua buah lagu puisi dalam album itu yang dijangka akan dilancarkan 25 November ini di Kuala Lumpur.

''Ini merupakan sebahagian kerja dakwah selepas saya tidak lagi bergelar Mufti Perlis kerana semua lagu puisi yang saya tulis ini mempunyai nilai moral yang tinggi termasuk menyentuh isu semasa, politik, kemanusiaan dan disiplin," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Sebelum ini akhbar melaporkan Mohd. Asri yang dilantik sebagai Mufti Perlis pada 1 November 2006 akan menamatkan kontrak perkhidmatannya hujung bulan ini.

Mohd. Asri yang berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pengajian Hadis dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merupakan mufti termuda di negara ini dan menjadi antara mufti yang lantang menyatakan pandangan dalam sesuatu isu.

Beliau juga aktif dalam kegiatan seni apabila beberapa kali diundang untuk mendeklamasikan sajak, termasuk puisi bertemakan didaktisme (pengajaran) yang dianjurkan Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) di Ruang Legar Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, baru- baru ini.

Menurut Mohd. Asri, album itu diterbitkan kerana minat mendalamnya dalam penulisan puisi bersifat pengajaran dan pendidikan.

''Usaha ini mungkin tepat pada masanya apabila saya tidak lagi bergelar mufti dan saya juga ingin mencuba sesuatu yang baru. Saya jangkakan antara lagu puisi yang bakal meletup ialah Aku Bukan Musuh Harta," katanya dalam nada berseloroh.

Tiada ulasan: