Sabtu, 15 November 2008

100 keluarga Nelayan Teraniya - ADUN Batu Burok Ikrar Akan Tuntut Keadilan
Wan Kay


Kuala Terengganu – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berikrar akan menuntut keadilan keatas 100 keluarga nelayan Pantai Pandak, Cendering, dekat sini, yang dianiyai oleh kerajaan Terengganu.

“Saya akan mengambil tindakan susulan dengan menghantar surat kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said agar segera bertindak menyelesaikan masalah ini,

“Sekiranya tindakan kita itu tidak mendapat respon positif dalam masa seminggu dua ini, saya akan membawa satu usul tergempar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) bulan depan (Disember),” tegas beliau selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk terbabit, semalam.

Beliau berkata tuntutan mangsa perpindahan ‘paksa’ penduduk Lot 1770 Pantai Pandak Chendering perlu dipenuhi oleh kerajaan.

Katanya, kerajaan juga wajar mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah tempat tinggal dan memberikan mereka kehidupan yang lebih selesa. (Gambar kiri - Asmadi)

“Rintihan penduduk yang tidak selesa tinggal di rumah ‘Flat’ Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) terutamanya bagi yang berkeluarga besar, mesti didengar oleh kerajaan,

“rata-rata penduduk terbabit terdiri dari kalangan nelayan yang hidup dalam serba kedhaifan dan perlukan pembelaan,”ujar beliau.

Justeru beliau berjanji akan bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Penduduk Pantai Pandak (JKBPPP) menuntut kerajaan mengotakan janji-janji sebagaimana diucapkan sewaktu ‘memujuk’ mereka keluar (dari tanah dan rumah mereka).

Sehubungan dengan itu, Setiausaha JKBPPP, Saudara Asmadi Abd. Ghani, 35, menggesa agar kerajaan negeri mempercepatkan tindakan membina dan menyiapkan rumah kepada penduduk sebagaimana yang telah dijanjikan.

Asmadi berkata penduduk terbabit telah menunggu selama dua tahun dan hingga kini kerajaan belum melunaskan janji untuk menyediakan rumah.

“Kami daripada jawatankuasa bertindak mewakili penduduk di Kampung Pantai Pandak ini memohon kepada kerajaan negeri mempercepatkan janji menyediakan rumah.

“Kami semua sudah tidak tahan dan tidak selesa tinggal di Flat Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK),” katanya.

Beliau berkata hingga kini penduduk berkenaan tertanya-tanya di mana dan bilakah rumah yang dijanjikan kerajaan itu dapat disiapkan dan akan dapat diduduki.

Menurutnya JBPPP pernah menghantar sepucuk surat kepada Menteri Besar, namun surat yang mendapat sokongan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Razali Ismail seolah-olah ‘tidak laku’ dan sehingga kini Ahmad tidak memberikan sebarang jawapan.

Seorang penduduk terbabit, Rahmat Seman, 40,menggesa kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah 100 buah keluarga yang melibatkan bilangan isi rumah hampir 700 orang.

Rahmat berkata, kediaman sementara di Flat YPK itu ‘amat’ tidak selesa kerana hanya mempunyai dua bilik serta tidak sesuai bagi keluarga yang besar.

“Kerajaan negeri kena tengoklah macam mana kami mahu tingal di rumah Flat YPK yang kecil dan hanya ada dua bilik sahaja

“Kami (Nelayan) semua mempunyai keluarga yang besar dan ramai anak-anak yang telah besar dan dewasa,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk yang terbabit dengan perpindahan itu adalah Suhaimi Said, 26, yang bekerja sebagai buruh kasar.

Beliau mendedahkan pelbagai kejadian serta gejala tidak sihat akan mudah berlaku dalam kehidupan keluarga yang terhimpit itu.

Katanya, rata-rata kaum nelayan mempunyai keluarga yang besar serta ramai anak yang bercampur antara lelaki dan perempuan.

“Jika rumah kecil, bilik tidak cukup tetapi anak-anak ramai bercampur antara lelaki dan perempuan yang sudah dewasa memang tidak selesa,” ujarnya.

Menurutnya, suasana yang seumpama itu akan mewujudkan pelbagai kejadian yang tidak sihat dalam perkembangan keluarga hari ini.

Seorang warga emas yang bekerja sebagai nelayan, Mat Razak Mat Non, 64, mendakwa beliau adalah penduduk asal tinggal di Kampung Pandak sejak dari zaman datuk dan neneknya.

“Pak cik ‘celik’ mata (lahir) di sini dan dibesar dan berkeluarga pun di sini. Kerajaan ambil balik tanah belum ganti tempat yang dijanjikan itu.

“Pak cik harap sangat kerajaan negeri segera selesaikan masalah penduduk yang masih menanti untuk pindah ke rumah baru itu,” jelasnya.

Sementara itu, perpindahan secara paksa itu turut menimbulkan rasa tidak puasa hati dikalangan penduduk terbabit kerana mereka mendakwa pampasan yang diberikan tidak setimpal.

Ismail Sidek, 55, mendakwa kerajaan tidak adil kerana kadar pampasan yang diterima oleh Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) lebih tinggi daripada yang diterima oleh orang lain.

“Kerajaan beri pampasan pun tidak ikut peraturan dan tidak ‘berbaloi’ kerana ada yang dapat bayaran tinggi walau pun rumah buruk sahaja,

“Orang yang rapat dengan pemimpin tertentu kerajaan (JKKK) boleh bayaran pampasan tinggi sehingga RM12,000 dan bayaran tidak sama antara satu sama lain,” jelasnya.

Menurutnya, bayaran pampasan yang diperolehi penduduk tidak sama antara RM3,000 hingga RM12,000 sebuah rumah.

Katanya, bayaran yang sekecil itu tidak cukup bukan sahaja mahu menyiapkan sebuah rumah tetapi bahagian dapur pun tidak selesai.

Buletinonline dimaklumkan pengambilan tanah tersebut melibatkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu pada bulan Mei 2007 di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu pimpinan Bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh.

Majoriti penduduk di Kampung Pantai Pandak, Chendering iaitu lebih 65 peratus adalah terdiri dari golongan nelayan tradisional, berkeluarga besar dan warga emas termasuk 26 orang di kalangan mereka adalah ibu tunggal.

Penduduk terbabit juga memaklumkan, kerajaan negeri berjanji kepada semua yang terlibat dengan pengambilan balik tanah itu akan ditempatkan semula di Kampung Binjai, Chendering, Kuala Terengganu.

Sumber lain mengatakan, kerajaan mengambil balik tanah tersebut dan ‘menghambat’ penduduk keluar dengan tujuan untuk mendirikan sebuah hotel bertaraf lima bintang.

Tiada ulasan: