Ahad, 6 Februari 2022

Perhilitan siasat dakwaan ‘pak belang’ berkeliaran di Perak

BERNAMA

Siasatan mengenai kemunculan harimau di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu dimulakan malam semalam.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak sedang menyiasat dakwaan terdapat harimau belang yang berkeliaran di kawasan semak berhampiran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini baru-baru ini.

Pengarahnya Yusof Shariff berkata pihaknya telah menghantar Unit Harimau ke lokasi berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan sedang dijalankan selepas pihak kami mengesan video tular ini pada kira-kira pukul 10 malam tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Video berdurasi 17 saat itu tular menerusi aplikasi TikTok menunjukkan seekor harimau berjalan di celahan semak samun di kawasan berbukit.

Pemilik media sosial itu turut mendakwa lokasi terbabit ialah selepas Cafe Banjaran yang terletak berhampiran kawasan rehat dan rawat serta meminta orang ramai berhati-hati.

Sabtu, 5 Februari 2022

Farmasi komuniti pandu lalu pertama Malaysia

Mumtaz (kiri) pada majlis Pelancaran Farmasi Pandu Lalu Pertama Malaysia di Superbig Pharmacy, Kubang Kerian. - Foto Hazira Ahmad Zaidi
Mumtaz (kiri) pada majlis Pelancaran Farmasi Pandu Lalu Pertama Malaysia di Superbig Pharmacy, Kubang Kerian. - Foto Hazira Ahmad Zaidi

KOTA BHARU: Farmasi Superbig Kubang Kerian, di sini menjadi farmasi komuniti pertama di negara ini menggunakan konsep pandu lalu.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang, berkata kaunter pengambilan ubat secara pandu lalu adalah alternatif terbaik yang perlu diakses ketika penularan COVID-19.

"Pelanggan memesan ubat dari dalam kenderaan di kaunter pandu lalu yang mana secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko penularan pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Farmasi Komuniti Pandu Lalu Pertama Malaysia oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Superbig Capital Berhad, Dr Wan Sazrina Wan Zaid.

Hingga kini terdapat 22,000 ahli farmasi di seluruh negara yang berdaftar dengan MPS termasuk 4,000 ahli farmasi komuniti.

Sementara itu, Dr Wan Sazrina berkata, kaunter pandu lalu farmasi itu mampu mengurangkan kapasiti orang ramai di kaunter farmasi hospital.

"Dalam keadaan sekarang, pelanggan lebih cenderung mengunjungi farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat serta vitamin.

"Ini sebahagian usaha mengelak daripada bersesak di hospital dan klinik," katanya.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  MEDAN BERITA POLITIDK DALAM KEMBAR BLOG  ' AR RISALAH 

Sabah tutup sekolah jika kluster meningkat

Jangkitan mesti disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam kalangan pelajar, guru atau kakitangan sekolah. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Jangkitan mesti disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam kalangan pelajar, guru atau kakitangan sekolah. - Foto NSTP/DANIAL SAAD

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menetapkan tatacara penutupan sekolah, sekiranya berlaku penularan jangkitan COVID-19 membabitkan institusi pendidikan.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata keputusan terbabit dilaksanakan berikutan jumlah kluster pendidikan meningkat secara mendadak, baru-baru ini.

"Berdasarkan kepada situasi semasa di Sabah, terdapat beberapa tindakan diputuskan melalui Mesyuarat Pengurusan Bencana Negeri Sabah COVID-19 untuk dilaksanakan segera.

"Antaranya ialah penutupan sekolah serta-merta selama tujuh hari, sekiranya terdapat sekurang-kurangnya dua orang positif COVID-19 yang membabitkan satu penularan dalaman.

"Jangkitan mesti disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam kalangan pelajar, guru atau kakitangan sekolah yang terbabit.

"Selain itu, hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama saja dibenarkan pulang ke asrama (asrama penuh atau harian), bagi meneruskan sesi pembelajaran pada 7 Februari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

UMNO tiada 'calon kabel'

ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) perlu melakukan perubahan dalam pemilihan calon untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan tidak mengemuka 'calon kabel', sebaliknya menurunkan hanya calon terbaik.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemilihan calon terbaik bagi menghadapi PRN Johor penting supaya kemenangan mutlak dapat dicapai.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata kemenangan mutlak perlu dicapai BN di Johor sekali gus membuktikan kebangkitan parti yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

"BN perlu melakukan perubahan berani pada PRN Johor dengan menampilkan calon terbaik yang tidak menggunakan 'kabel' bagi memastikan kebangkitan parti.

"Calon PRN Johor mesti WALI, iaitu 'winnable' (boleh menang), 'acceptable' (diterima) dan 'likeable', (disukai). BN tak perlu calon kabel.

"Insya-Allah, saya, pemimpin UMNO dan BN bersama pemimpin Johor akan tentukan calon terbaik supaya perubahan dapat dilakukan di Johor dengan kita mencapai kemenangan lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Pusat Operasi Zon Barat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Pengarah PRN Johor serta Pengerusi BN Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Ketua Penyelaras PRN Johor.

Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau juga sudah memaklumkan kepada Hasni supaya berunding dengan ketua-ketua bahagian supaya dapat menampilkan calon terbaik.

"Ketua bahagian saya tahu tak akan calonkan nama sendiri. Pengundi muda ramai, calonkan calon muda.

"Pengundi wanita juga ramai, jangan lupa calonkan ramai calon wanita.

"Orang lama pun ramai, maka calonkan juga mereka.

"Kita mahu BN menang besar. Maka, lakukan perubahan terutama dalam pemilihan calon," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut sedang meneliti manifesto BN yang terbaik untuk dikemuka kepada pengundi.

"Saya yakin walaupun manifesto ini nanti bukan kitab suci, namun ia mampu dilaksanakan dan bukan janji palsu.

"Saya akan pastikan dan pantau segala janji yang kita kemukakan dalam manifesto BN wajib dilaksanakan," katanya.

Sesendal skru tersekat di jari

KOTA MARUDU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terpaksa menahan kesakitan selepas sesendal skru yang disarung di jari manis tangan kanan, tersekat di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam tadi, mangsa dikejarkan ke Hospital Kota Marudu sebelum kakitangan hospital kemudiannya menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 9.01 malam dan lima anggota dikerah ke lokasi.

"Sebaik tiba, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan mendapati jari manis tangan kanan mangsa membengkak serta mengalami luka kecil.

"Anggota bomba mengambil masa kurang 40 minit bagi memotong dan menanggal objek berkenaan dengan menggunakan peralatan 'Mini Grinder'," katanya dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 10 malam dan kes diserahkan kepada pihak perubatan hospital untuk rawatan lanjut kepada mangsa

Menteri minta pantau penyebaran ajaran sesat ‘Gerakan Akhir Zaman’

 Ainul Illia1

Lapor pada SKMM jika terdapat ajaran itu disebar melalui media sosial

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengarahkan Jabatan Agama Islam di setiap negeri untuk memantau penyebaran ajaran sesat kumpulan Gerakan Akhir Zaman (Gaza).

Idris berkata, jika terdapat aduan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menghubungi negeri berkenaan untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Manakala jika terdapat aduan ajaran sesat itu disebar di platform media sosial, beliau berkata, pihaknya akan melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam pada itu, Idris menyeru agar semua umat Islam di negara ini tidak terpedaya dengan dakyah sesat kumpulan tersebut.

“Soal agama kena mengaji dengan guru, bukan YouTube atau Google dan kena ada asas pengetahuan agama.

“Apabila kita ada asas dan mengaji dengan guru, benda (Gerakan Akhir Zaman) itu tidak logik,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kumpulan berasal dari Indonesia itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah SWT di dalam mimpinya.

Amaran ribut petir di kebanyakan negeri hingga malam ini

 Athirah Huda Zalhe

Babit kebanyakan negeri Semenanjung termasuk Sabah, Sarawak

BANGI, 2 Rejab 1443H, Jumaat – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak hingga jam 8 dan 9 malam ini.

Dalam kenyataan petang ini, MetMalaysia memaklumkan amaran ribut petir dan hujan lebat dijangka sehingga jam 8 malam membabitkan beberapa daerah di Perak iaitu Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang serta Muallim.

Ia turut membabitkan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin) serta Melaka.

Turut diramal terkesan beberapa daerah di Johor iaitu Tangkak, Muar, Batu Pahat, Mersing dan Pontian serta Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Tawau dan Sandakan.

Selain itu, beberapa negeri juga dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat yang berterusan sehingga jam 9 malam ini.

Ia membabitkan Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang serta Perak (Kerian).

Cuaca sama diramal di beberapa daerah di Pahang iaitu Tanah Tinggi, Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Temerloh.

Turut dijangka terkesan Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong) serta Limbang di Sarawak.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.

Tiada ancaman air pasang besar di Kuala Muda setakat ini

 azrulhakimie

Peningkatan air laut secara normal, tak datangkan risiko

SUNGAI PETANI– Fenomena air pasang besar yang diramal berlaku di kawasan Kuala Muda, di sini antara Selasa lepas hingga esok, setakat ini tidak membawa ancaman kepada penduduk khususnya di kawasan pantai di daerah itu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata berdasarkan pemantauan pihaknya, peningkatan paras air laut berlaku secara normal dan ia tidak mendatangkan risiko kepada penduduk.

“Pemantauan air pasang besar di Kedah ada dua tempat iaitu kawasan Kuala Muda dan Kuala Kedah dan tahun lepas ada kawasan terjejas ekoran fenomena itu tapi untuk kali ini ia diramalkan berlaku di Kuala Muda.

“Kita telah mengerahkan anggota ke lokasi yang dijangkakan berpotensi berlaku air pasang besar untuk ramalan kali ini dan berdasarkan laporan petugas di lapangan walaupun air pasang berlaku tetapi ia tidak begitu serius,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pemantauan dilakukan di dua lokasi iaitu pantai Kota Kuala Muda dan pantai Tanjung Dawai dengan berpandukan maklumat hidrografi yang dikeluarkan Pusat Hidrografi Nasional serta Jadual Ramalan Air Pasang Surut Malaysia.

Katanya, pada pukul 2 pagi tadi aras air di kedua-dua lokasi itu dikesan naik ke sekitar 1.3 dan 1.5 meter iaitu bacaan normal dan tidak mencapai paras yang diramalkan iaitu 2.26 meter.

Awang Askandar berkata komuniti atau penduduk di kawasan pantai Kuala Muda tidak perlu bimbang dengan keadaan itu, namun mereka perlu sentiasa berwaspada untuk sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

Pusat Hidrografi Nasional sebelum ini mengeluarkan amaran fenomena air pasang besar di pesisir pantai khususnya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia mulai 1 hingga 5 Februari.

Selain Kuala Muda, kawasan lain yang diramal berhadapan dengan fenomena itu adalah Pelabuhan Klang dan Sabak Bernam, Selangor; Bagan Datuk, Perak serta Batu Pahat dan Pontian di Johor. – Bernama

Lalitha dakwa kandungan artikel berkait Azam Baki dari sumber sah

azrulhakimie

Siasatan berdasarkan tanggungjawab dan analisis neutral

KUALA LUMPUR – Penyelidik Kanan Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) K.Lalitha mendakwa kandungan artikel dan ciapannya berhubung Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki diperoleh daripada sumber yang sah.

Perkara itu dinyatakan Lalitha, 49, selaku defendan di dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan menerusi Tetuan Ibrahim & Fuaadah semalam.

“Saya telah menyiarkan artikel-artikel itu berdasarkan apa yang diekstrak daripada sumber yang disahkan serta merumuskan maklumat dengan tepat, adil dan secara neutral,” menurutnya dalam pernyataan pembelaan.

Beliau juga mendakwa selaku wartawan penyiasat, siasatan yang dilakukannya adalah berdasarkan tanggungjawab dan analisis neutral selain tidak berat sebelah terhadap fakta serta maklumat yang diperoleh, yang boleh diakses daripada domain awam.

“Saya memplid bahawa adalah amat penting bagi orang ramai untuk menerima komunikasi maklumat tertentu secara terus terang dan tanpa halangan, demi kepentingan awam,” katanya.

Pada 12 Januari lepas, Azam, 59, memfailkan saman terhadap Lalitha atas dakwaan menerbitkan artikel memfitnah berkaitan pembelian saham yang disiarkan oleh portal agensi berita Independent News Service (INS).

Azam mendakwa Lalitha telah mengarang dua artikel bertajuk Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian 1) dan Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? (Bahagian Dua) yang pertama kali diterbitkan dalam INS pada 26 Okt sebelum kedua-dua artikel diterbitkan semula pada 15 Dis tahun lepas.

Plaintif mendakwa defendan turut berkongsi pautan artikel itu di laman Twitternya atas nama @LalithaVelvet untuk disebarkan kepada umum dan pautan kepada kedua-dua artikel masih boleh diakses sehingga kini.

Dakwa Azam tajuk artikel itu adalah sensasi, bersifat skandal dan menjengkelkan kerana ia dikarang dan diterbitkan semula dengan niat jahat bagi memberi kesan serta gambaran yang amat buruk kepada pembaca bahawa plaintif seorang penjawat awam yang korup atau menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai tinggi SPRM untuk kepentingan sendiri atau adik-beradiknya.

Azam mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan nama dan reputasinya tercemar dan oleh itu, beliau menuntut perintah bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan berbaur fitnah tersebut diterbitkan semula selain memohon defendan memadam artikel dan ciapan dalam tempoh tiga hari penghakiman dibuat serta permohonan maaf dalam akhbar atau media sosial pilihan plaintif.

Turut dituntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta dan ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Bernama