EKORAN masa perbahasan yang sangat terbatas, saya
tidak berkesempatan menyentuh isu ini ketika mengambil bahagian di dalam
perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Belia dan Sukan dua hari
lepas. Ini kerana Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq bin Syed Abdul
Rahman adalah di antara individu yang mula-mula melontarkan idea supaya
Gojek beroperasi di Malaysia pada bulan Ogos lepas.
Sejarah
Gojek ini bermula apabila Nadiem Makarim (sekarang Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia) bersembang dengan ramai penunggang
Ojek, beliau dapati penunggang
Ojek
banyak menghabiskan masa menunggu bakal pelanggan di tepi jalan. Lalu,
Nadiem memulakan inisiatif mewujudkan sebuah pusat panggilan di Jakarta,
mengkoordinasi permintaan pelanggan dengan 20 buah
Ojek. Nadiem mahu rakyat Indonesia mudah bergerak dari poin A ke B tanpa terperangkap dalam kesesakan dengan hanya menggunakan
Ojek dan panggilan telefon. Pada tahun 2010, Nadiem Makarim melancarkan
Gojek.
Gojek terus berkembang pesat. Tahun 2015,
Gojek melancarkan aplikasi yang menawarkan tiga servis iaitu
GoRide, GoSend dan
GoMart. Kemudian, hampir sepuluh tahun berlalu,
Gojek bukan lagi hanya sekadar
‘ride-hailing’
tapi syarikat servis teknologi yang menawarkan 20 solusi seperti
penghantaran, pembayaran e-kewangan, hiburan dan penjagaan kesihatan.
Kajian Universitas Indonesia mendapati
Gojek menyumbang kira-kira Rp44.2 trilion (AS$3 bil) untuk ekonomi Indonesia pada tahun 2018.
Gojek diiktiraf sebagai
‘decacorn’, ‘one stop super apps’ yang terbesar di Asia Tenggara.
Gojek mendapat suntikan dana berbilion dolar daripada pelabur JD,
Tencent, Google dan
Temasek Holdings.
Ia telah melebar sayapnya ke Thailand, Singapura dan Vietnam. Ia
dijuluk sebagai Karya Anak Bangsa yang mendunia. Pasca PILPRES 2019
lalu, Nadiem Makarim telah dilantik sebagai MENDIKBUD dan yang terbaru,
beliau dinobat sebagai
‘Time 100 Next’. Seorang pemimpin masa depan yang dijanjikan Bapak Jokowi.
Isu yang ingin dibangkitkan dalam artikel ini adalah lanjutan daripada
mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2019 yang lalu. Menurut YB Menteri
Belia dan Sukan, “Pada hari ini Kabinet sebulat suara meluluskan model
ekonomi
Gojek atau pun
Dego Ride. Kita ikhlas ingin
memastikan golongan mat motor mendapat peluang pekerjaan puluhan ribu.
Pada masa yang sama kita ingin membantu pakcik dan makcik yang
mengendalikan warung sedia ada menjual barang mereka melalui servis
Gojek”.
Persoalannya, apakah sebenarnya yang mahu dibawa? Adakah model bisnes
Gojek atau
GoRide sahaja? Mengapa pada beberapa hari lalu, Raditya Wibowo (Ketua Pengangkutan
Gojek) mengatakan,
“Riding
a Gojek for the first time can be a scary experience, so we need a
solution that can be received well by the customers and riders in
Malaysia”. Berdasarkan hasrat tersebut, apa yang ingin dibawa lebih tertumpu hanya kepada
GoRide sahaja.
Lebih awal dari itu,
Gojek telah meluaskan bisnes ke arena ASEAN iaitu Vietnam
(Go-Viet), Singapura
(Gojek Singapore) dan Thailand
(GET). Sekiranya diteliti, negara-negara tersebut mengadaptasi servis tertentu sahaja. Sebagai contoh,
Go-Viet menawarkan tiga servis iaitu
GoBike, GoSend dan
GoFood. Singapore pula hanya mempunyai satu
service iaitu
GoCar. Filipina menolak
Gojek kerana gagal memenuhi kriteria pemilikan domestik.
Apakah Malaysia mahu daripada servis
Gojek? Adakah ia berbeza dengan
Dego Ride?
Dego Ride,
kearifan tempatan dari Johor merupakan perkhidmatan teksi motosikal
untuk mengangkut penumpang dan penghantaran barang. Pernah beroperasi
sekitar tahun 2016 dan diharamkan oleh Kementerian Pengangkutan pada
tahun 2018.
Dego Ride dikatakan menyalahguna Lesen Kenderaan Motor. Kemudian, ia telah mendapat lampu hijau dari kerajaan pada bulan Ogos lalu.
Menurut pengasasnya Nabil Feisal Bamadhaj, Kementerian Pengangkutan telah meluluskan perkhidmatan
Dego Ride secara kasar dengan syarat menggunakan
‘rider’ lama tahun 2016. Banyak pertimbangan yang perlu diambil kira dari aspek keselamatan dan regulasi. Hal ini bermakna,
Dego Ride mula mendapat kembali perhatian Kerajaan setelah cadangan Menteri Belia dan Sukan untuk menjemput
Gojek beroperasi di Malaysia.
Sebagai rekod, buat masa ini, terdapat 44 buah syarikat
e-hailing yang lulus beroperasi di Malaysia. Bukan hanya
Grab, Mycar, FoodPanda, BungkusIt, tapi juga
Zeppon, Tutucars, Pisang, GoJo dan
BitCar.
Sebenarnya, isu yang paling ketara ialah perkhidmatan teksi motosikal
untuk mengangkut penumpang bukan penghantaran makanan dan barangan.
Adakah servis mengangkut penumpang dengan menggunakan motor satu budaya
bisnes yang boleh diterima oleh rakyat Malaysia?
Berita Harian pernah mengadakan
survey dalam talian di
Facebook dan
Twitter pada 21 Ogos lalu dan mendapati 59.5 peratus (8093 orang responden) tidak bersetuju dengan
Gojek. News Straits Times juga mengadakan
survey di
Facebook pada 23 Ogos dan mendapati 65 peratus tidak menyokong
Gojek.
Meskipun tiada perincian faktor penolakan namun banyak komentar
diberikan berkait dengan isu budaya, keselamatan dan kontradik dengan
misi pengangkutan awam.
Statistik menunjukkan 4,128 daripada
6,284 kes kemalangan maut di Malaysia membabitkan motosikal pada tahun
2018. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) belum
mengemukakan laporan kajian
‘proof of concept’ mengenai perkara ini. Selain itu, Malaysia juga dikenali sebagai
‘car dependent society’ dan masih belum mengoptimumkan sepenuhnya fungsi pengangkutan awam darat.
Peningkatan penggunaan kereta dan motosikal akan menghalang usaha untuk
melaksanakan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon, penggunaan bahan
api dan karbon yang tinggi. Tambahan pula, unjuran menunjukkan kadar
urbanisasi akan mencecah 80 peratus pada tahun 2030. Oleh itu, keadaan
ini dilihat regresif dan tidak mencerminkan perubahan ke arah status
negara maju. Walau bagaimanapun, perkhidmatan e-panggilan ini tidak
menafikan pertambahan peluang kerja khususnya dalam kalangan anak muda
dan golongan B40.
Satu lagi aspek penting ialah budaya dan nilai masyarakat atau juga diistilahkan sebagai
‘socio culture’.
Elemen ini sangat penting dalam pembentukan model dan pemasaran bisnes
di Malaysia. Kebiasaannya, sesuatu syarikat bisnes akan mengkaji enam
faktor dalam menentukan kebolehpasaran bisnes iaitu PESTLE. Politik,
Ekonomi, Sosial, Teknologi, Perundangan
(Legal) dan Ekologi. S
untuk sosial merangkumi banyak aspek seperti agama, kaum, jantina, umur,
tahap pendidikan dan sikap terhadap sesuatu isu.
Dego Ride, Gojek
dan lain-lain syarikat yang menawarkan servis mengangkut penumpang
dengan menggunakan motor perlu untuk memahami faktor sosio budaya ini.
Lelaki dan perempuan bukan muhrim, budaya masyarakat Melayu, keselamatan
diri dari jenayah cabul dan rogol pasti akan menjadi pertimbangan
utama. Kita bersedia untuk menempuh arus tranformasi digital ekonomi
tetapi dengan nilai budaya rakyat Malaysia.
*AHMAD FADHLI SHAARI, Ahli Parlimen Pasir Mas. –
HARAKAHDAILY