Khamis, 3 Februari 2022

Padah sorok barang, peniaga didenda RM30,000

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

TERTUDUH (depan) didenda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku salah menyorok barangan keperluan kawalan. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Baru setahun membuka kedai runcit, seorang peniaga didenda sebanyak RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah menyorok barangan keperluan kawalan termasuk minyak masak, tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Samchah Mohamad, 51, yang membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pemilik syarikat Era Prestij Resources didapati telah menyimpan barang kawalan di tempat selain premis dilesenkan oleh Pengawal Bekalan barang berjadual. 

Barang tersebut adalah 140 unit minyak masak 5 kilogram (kg) jenama Lesong, gula pasir kasar 1kg jenama CSR (216 unit), tepung gandum 1kg jenama Bunga Cempaka (30 unit) dan 850 gram Cap Ros (60 unit). 

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 3.30 petang di premis di Melaka Halal Hub, Serkam Fasa 2 dalam daerah Jasin pada 4 Oktober 2021. 

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 akta sama. 

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan baharu sahaja menjalankan perniagaan itu kira-kira setahun, selain telah membuat permohonan lesen bagi lokasi tersebut tetapi ditolak. 

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Syazwani Zawawi bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan membabitkan barang keperluan asas rakyat. 

Tambahnya, tertuduh juga sedia maklum mengenai tata cara lokasi penyimpanan barangan terkawal ketika iaitu dipremis yang dilesenkan. 

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: