Khamis, 3 Februari 2022

Bantuan mangsa banjir Selangor selesai akhir bulan ini

 Oleh MOHAMAD ATHIR ISMAIL

AMIRUDIN Shari dalam sidang akhbar khas mengenai bantuan BSB di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Bangunan SUK, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM: Kerajaan negeri menyasarkan untuk menyelesaikan penyerahan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) bernilai RM1,000 dan RM10,000 kepada mangsa banjir yang kehilangan ahli keluarga menjelang akhir Februari ini.

Kelewatan tersebut berlaku disebabkan berlaku peningkatan permohonan terutama di Klang apabila sebanyak 77,000 mangsa banjir memohon untuk mendapatkan BSB, sementara jumlah keseluruhan diterima adalah sebanyak 109,000 permohonan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini kira-kira 50 peratus atau 55,425 keluarga menerima bantuan sebanyak RM1,000 dan 13 keluarga menerima RM10,000 merangkumi sembilan daerah di negeri ini.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang telah disalurkan kepada mangsa terkesan banjir adalah sebanyak RM55.555 juta.

“Untuk mangsa yang meninggal dunia, secara keseluruhan sebenarnya kita kenal pasti 19 yang layak iaitu dalam kalangan ahli keluarga, sekarang kita sudah kenal pasti enam lagi yang belum dapat kita sampaikan atau serahkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Justeru, beliau juga sedia maklum mengenai permohonan di sekitar Klang dan Petaling yang masih belum menerima maklum balas dan memohon maaf atas kelewatan tersebut bagi meneliti senarai pemohon berikutan wujud pertindanan.

“Jadi, dua daerah Petaling dan Klang mengalami jumlah permohonan yang tinggi, kalau di Klang sahaja keseluruhan jumlah permohonan yang kita dapati adalah sebanyak 77,000 Ketua Isi Rumah (KIR), daripadanya datang lewat mungkin kerana bersihkan rumah.

“Sebahagiannya terdapat pertindanan permohonan yang berlaku dalam kalangan pemohon, justeru kita terpaksa melakukan saringan-saringan tertentu dan insya Allah akan dapat diselesaikan,” jelasnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan mangsa banjir bersama Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor hadir ke pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi menghantar memorandum kepada Amirudin.

Dalam memorandum tersebut, mereka menuntut penjelasan daripada Menteri Besar mengenai kelewatan bantuan kepada mangsa banjir apabila sudah lebih sebulan bah berlaku di Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, kerajaan akan meningkatkan kapasiti untuk memproses permohonan bantuan daripada 1,000 kepada 3,000 sehari bagi membolehkan sasaran penyelesaian menjelang akhir Februari dapat dicapai.

“Justeru, saya sudah salurkan maklumat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sebentar tadi, kita akan menggandakan pemberian di daerah Klang daripada 1,000 yang berlaku pada minggu ini, pada minggu hadapan yang akan bermula 2,000 hingga 3,000 sehari dan kita jangkakan semua proses penyampaian BSB akan dapat diselesaikan pada 29 Februari ini.

“Jadi tarikh ini sudah ditetapkan bagi Klang, justeru daerah-daerah lain juga sudah menyelesaikannya. Sehingga akhir minggu lepas, kita dapati di daerah lain kecuali Klang dan Petaling semuanya di bawah 1,000 penerima,” katanya.

Beliau menambah, sehingga kini kerajaan negeri sudah pun membelanjakan sekitar RM109 juta bagi pemberian BSB bernilai RM1,000 yang mana sebahagian penerima terbesarnya adalah penduduk di Klang dan Petaling. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: