Khamis, 28 November 2019

Beza akhlak Anwar berbanding Presiden PAS

MOHD NASIR ABDULLAH 
 
 

SEHINGGA November 2020, jika panjang usia, tidak dipecat, Perdana Menteri Malaysia, masih Tun Dr Mahathir. Itu adalah jawapan tuntas Tun kepada pemberita ketika ditanya dalam satu sidang akhbar semalam. Baiklah, kita jangan kacau Tun. Biarlah dia mahu meneruskan tugasannya sebagai PM sehingga habis penggal ini pun, tak mengapa, kalau dia mahu habiskan, boleh.

Mari kita tumpukan perhatian kita kepada PM selepas beliau. Anwar mengaku yang dia adalah PM ke-8. Ia bukan main-main kerana selain daripada pengumuman demi pengumuman, beliau juga mendakwa telah dijanjikan jawatan itu oleh Tun secara bertulis, iklan-iklan di FB juga bersepah yang menyanjung Anwar sebagai PM. Sehingga kini, begitulah kepercayaan pengikut Anwar. Tetapi tidak kita tahu pula adakah Anwar sebegitu yakin yang dia akan ditabalkan sebagai PM ke-8.

Laungan Anwar sebagai PM ini, bukanlah baru bagi peminat-peminat politik tanah air. Ia bermula sejak lama dahulu. Selepas mengambil alih jawatan Timbalan Presiden Umno daripada  Tun Ghaffar Baba pada 1 Disember 1993, dengan bantuan orang-orang muda Umno, Anwar mara bergerak gagah. Kebanyakan orang muda Umno dan yang berusia pertengahan ketika itu, bercita-cita menjadi sebahagian daripada ‘Team Wawasan’ beliau.

Beliau sudah sangat hampir untuk menggapai gelaran teragung politik Malaysia itu, tetapi kemudiannya, terjadilah apa yang kita ketahui, Anwar rebah di pintu syurga. Dia disumbat ke dalam penjara. Ramai yang beranggapan karier politiknya sudah berakhir dengan kesedihan akibat dari apa yang dikatakan sebagai rancangan Tun Mahathir. Anwar dilabelkan sebagai ejen CIA, peliwat, kaki perempuan, salah guna kuasa dan berbagai-bagai lagi.

Akibat terlalu menekan rakyat untuk mempercayai tuduhan itu, Tun Mahathir menerima akibatnya. Rakyat bosan jika berpolitik keterlaluan. Maka, Umno menghadapi masalah besar apabila bola  fitnah gergasi yang dilemparkan itu, melantun semula kepada mereka. Saya pernah diberitahu bagaimana seorang Exco Terengganu sekitar tahun 1999, sebelum PRU, mengamuk menghempas tangan ke meja sambil berteriak ‘Ini semua Mahathir punya pasal’ apabila majlis yang dihadiri beliau, tidak mendapat sambutan.

Selepas dia dibebaskan, Anwar keluar semula sebagai wira. Bahkan, lebih besar dari itu, sebagai ‘bakal Perdana Menteri. Ahli-ahli PAS juga, bukan sedikit yang merasakan bahawa yang Anwarlah yang paling layak menjadi PM ketika itu. Lautan manusia menyambut kedatangan Anwar jika dia berceramah. Sehinggakan pernah pengacara majlis iaitu orang PAS, mengumumkan Anwar sebagai bakal PM di hadapan Presiden PAS. Dan menyedari hal itu sudah merebak, pimpinan PAS mula mengambil tindakan.

Ustaz Hassan Shukri pernah mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa Anwar tidak pernah disucikan lagi daripada kes liwat. Ustaz Harun Taib pula menegur ahli-ahli PAS dengan mempersoalkan tindakan ahli PAS menjulang nama Anwar menjadi PM, sedangkan PAS mempunyai Presiden. Maka almarhum menyeru supaya diangkat Presiden PAS menjadi PM, bukannya Anwar.

Di ketika itu, PKR hanya melukut di tepi gantang dengan PAS. Hampir semua benda diberikan kepada PKR, sama ada beri terus atau beri pinjam. Pinjam calon, beri pinjam duit  deposit (ada yang tak bayar balik) dan banyak lagi. Suatu ketika Anwar berceramah di Perlis, PKR Perlis mahu membolot duit kutipan ceramah dan mahu memberikan hanya sebahagian kecil kepada PAS Perlis. Sedangkan tempat, PAS yang sediakan, kawalan, PA system dan sebagainya. Begitulah tak tahu malunya mereka. Tetapi bila menjelang PRU atau PRK, Presiden PAS arahkan supaya bantu PKR kerana dia ‘kawan’ kita.

Pada ketika ini, sudah banyak bisikan-bisikan halus mengatakan bahawa Presiden PAS tidak layak menjadi PM. Bisikan itu beralun merdu dalam PAS, dinyanyikan oleh golongan dalam PAS yang mahukan Anwar menjadi PM. Sewaktu itu, ramai yang terpesona dengan lagu yang dihidangkan itu. Tidak terkecuali pimpinan-pimpinan atasan PAS yang turut mengkritik belakang cara pemakaian Presiden PAS yang sentiasa berjubah, menyebabkan orang ramai menjadi fobia, berbeza dengan Ustaz Fadzil Nor, antara kata mereka.

Saya sangat terkejut apabila mendapat tahu apabila diberitahu rakan yang ianya keluar dari mulut pimpinan PAS sendiri. Dan pada suatu waktu, ketika saya bersama dengan seorang lagi pimpinan PAS Pusat yang lain yang dilihat cenderung kepada Presiden, beliau meluahkan hal yang sama. Bermakna benarlah ianya sudah bertebaran. Dipecahkan lagi pemikiran bahawa Presiden PAS tidak layak menjadi PM dengan isu-isu lain. Antaranya ialah kononnya sikap keras yang dimiliki Presiden berbanding Mursyidul Am yang lembut dan disukai ramai orang.

Yang saya ingat, almarhum Ustaz Harun Taib, almarhum Ustaz Abu Bakar Chik, Dato Mustafa Ali yang kebanyakannya dari Terengganu yang mempertahankan Presiden. Agak lama ianya berlangsung pemikiran ini. Jika ramai yang sedar, pada tahun-tahun selepas Anwar bebas itulah, PAS dijuzuk-juzukkan oleh mereka dari dalam. Paling ketara adanya gelaran PAS Terengganu dan PAS Kelantan. Ramai yang merasakan PAS Terengganu sangat rendah kualitinya berbanding Kelantan. Apatah lagi selepas Terengganu kalah. Begitulah cara kerja mereka mahu menjatuhkan Presiden PAS.

Sesiapa dalam PAS waktu itu, yang melawan atau mahu menidakkan usaha menaikkan Anwar sebagai PM, jika dia seorang yang tidak kuat, maka dia akan terpelanting keluar. Contohnya Datuk Hasan Ali, yang menggelarkan kumpulan ini sebagai anai-anai. Manakala orang kuat Presiden, seperti almarhum Dato Harun Taib, almarhum Hassan Shukri, kalah dalam pemilihan. Saya mendengar ketika itu Ustaz Hassan Shukri digelar sebagai kereta berenjin lama, tapi bernafsu nak jadi Timbalan. Sampai merajuk sekejap Ustaz Hassan Shukri. Tetapi segera kembali kepada jemaah. Harakah juga dikuasai mereka.

Alhamdulillah, kemudiannya, satu persatu perkara yang disembunyikan, terkeluar sama ada dengan sendiri ataupun didedahkan oleh pihak-pihak ketiga. Anwar, tidak kelihatan suci lagi. Pasukan anai-anai dalam PAS dikeluarkan oleh perwakilan. Ahli-ahli PAS mulai sedar yang mana satu lebih layak menjadi PM. Dengan peribadi Presiden PAS yang tidak dapat dibanding oleh Anwar yang rupanya banyak terpalit dengan kekotoran yang jelas. Presiden PAS cuba dikotorkan oleh penyokong-penyokong Anwar sekotor-kotornya. Tetapi mereka gagal.

Mereka tidak berani mereka-reka cerita kejahatan Presiden PAS sebagai gay, misalnya kerana bukan sahaja orang luar, malah sesama mereka juga akan marah kerana tindakan itu sangat bodoh. Mereka juga tidak tergamak menuduh Presiden PAS makan rasuah, kerana ianya bukanlah cerita yang bijak. Juga tidak berupaya mereka mahu mengatakan Presiden PAS minum arak atau kaki perempuan, kerana bakal mendapat makianlah mereka. Tetapi Anwar, sudah berapa ramai yang percaya beliau dengan tuduhan-tuduhan sebegitu, walaupun jika dia tidak melakukannya sekalipun, namun ia munasabah dengan peribadinya.

Jadi, ketika ini, Tun Mahathir bertindak sangat bijak sebagaimana kata Presiden PAS, makin tua makin-makin menjadi, menyelamatkan negara, dengan tidak membenarkan Anwar menjadi PM.
Sikap Anwar yang gelojoh itu juga menjengkelkan bukan sahaja kalangan ahli politik, tetapi juga sudah menjadi bualan hangat rakyat. Sangat jauh beza dengan akhlak Presiden PAS yang mementingkan Islam dalam semua segi tindakannya. Ingat, Timbalan yang melawan Tun, semuanya ditendang keluar. Apatah lagi kalau setakat ahli Parlimen. Baik-baik Bang Non, jangan nakal-nakal takut nanti kena lagi. HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: