Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
PETALING JAYA: Penjenayah khususnya ‘kaki pecah rumah’ kini semakin bijak dan sentiasa mencari peluang memecah masuk rumah terutama jika mereka tahu pemilik kediaman itu tiada di rumah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Risikan/Operasi/Rekod (D4), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, ini termasuk cara pemilik rumah yang memasang lampu di dalam rumah bagi mengaburi mata penjenayah.
“Ada pemilik rumah yang memasang lampu mengaburi mata penjenayah kononnya ada orang di rumah namun penjenayah kini makin bijak, kalau ada orang di rumah, lampu tidak akan dipasang siang-siang hari
“Jadi seeloknya mereka yang ingin meninggalkan rumah melaporkan ke balai polis berhampiran bagi memudahkan kita melakukan rondaan,” katanya di sini semalam.
S. Shanmugamoorthy memberitahu, sebanyak 57,631 kes pecah rumah dilaporkan dalam tempoh empat tahun sejak 2018 hingga 2021.
Jelas beliau, dalam tempoh sama, pihaknya turut memberkas 36,009 individu yang terlibat dalam jenayah tersebut.
“Berdasarkan statistik, jenayah pecah rumah menunjukkan penurunan serta dalam keadaan terkawal. Ini kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020 hingga tahun lalu apabila orang berada di rumah jadi secara tidak langsung menutup peluang penjenayah.
“Selain itu, kawasan-kawasan perumahan yang kebanyakannya ‘gated’ dan mempunyai pengawal serta proses yang ketat untuk masuk,” jelas beliau.
Tambahnya, negeri tertinggi direkodkan melibatkan kejadian pecah rumah dan curi adalah Selangor (13,020 kes) diikuti Sarawak (6,229 kes) dan Sabah (6,141 kes).
Sempena cuti Tahun Baharu Cina ini termasuk cutin perayaan lain, beliau mengingatkan orang ramai yang mahu meninggalkan kediaman untuk pulang ke kampung melaporkan kepada balai-balai polis berhampiran.
Ini bagi membolehkan pihak polis melakukan rondaan dan
memeriksa jika terdapat individu mencurigakan terutamanya penjenayah
pecah masuk rumah dan curi. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan