Selasa, 1 Februari 2022

Parti Bangsa Malaysia mahu tanding PRN Johor, intai kerusi boleh menang


Satu lagi parti baharu, Parti Bangsa Malaysia (PBM) mahu masuk ke gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor buat kali pertama.

Kerusi yang boleh menang dan dilihat mempunyai peluang cerah diintai PBM untuk masuk bertanding, kata Timbalan Presidennya, Haniza Mohamed Talha.

“PBM hanya akan meletakkan calon di kawasan pemimpin sudah berkhidmat kepada rakyat di sana dan dikenali oleh pengundi.

“Calon-calon ini akan mempunyai peluang yang baik untuk menang. PBM sebuah parti berbilang kaum yang kuat dan ini faktor penyatuan seluruh rakyat Malaysia.

“Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, warna kulit atau kepercayaan dilihat sebagai satu Bangsa Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada masa ini perkara itu masih dalam perbincangan bersama kepemimpinan tertinggi parti dan pihak tertentu yang berada di luar parti.

Pada 21 Disember tahun lalu, PBM secara rasmi dilancarkan sebagai parti politik nasional selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pertukaran nama dan perlembagaannya daripada parti asal, iaitu Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Parti berkenaan diketuai Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan di Johor, PBM mempunyai satu kerusi Parlimen, iaitu Tebrau yang diwakili Steven Choong yang juga Naib Presiden parti itu.

Sementara itu, Haniza, berkata PBM juga mendesak supaya lebih banyak perwakilan wanita dan belia dilibatkan sebagai calon pilihan raya.

Tiada ulasan: