Khamis, 3 Februari 2022

Penceramah disaman Khairy minta maaf, buang semua video fitnah


Penceramah bebas Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali Abu Syafiq meminta maaf kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan berjanji untuk membuat semua video dan hantaran dalam media sosialnya yang dikatakan memfitnah Menteri Kesihatan itu.

Awal hari ini, media melaporkan Khairy menyaman bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam dan juga Abu Syafiq ekoran fitnah yang dibuat kedua-dua individu tersebut melibatkan isu vaksin Covid-19.

Dalam hantaran di laman sosialnya, Abu Syafiq berkata dia akan memadam segala posting dan video vaksin berkait dengan Khairy.

“KJ (Khairy). Saya minta maaf banyak-banyak. Maafkan saya ye (ya). Saya akan buang semua video dan posting saya pasal abang KJ tu.

“Usahlah abang KJ bersedih. Saya sayang abang KJ. Semua orang pun sayang. Allah sayang,” tulis Abu Syafiq di Instagramnya.

Abu Syafiq bagaimanapun turut membuat kenyataan sinis dengan menulis “Jangan ‘sembah’ vaksin usah per’tuhan’kan WHO”.

Dalam status lain, tanpa menyebut nama secara khusus, dia menulis “Haha” dengan tanda pagar #menteri koyak.

Saman Khairy itu difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari lalu.

Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah supaya status dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita.

Pengurusan kes ditetapkan pada 28 Februari.

Untuk rekod, Lokman juga sebelum ini disaman Ketua Hakim Syarie Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar bagi menuntut ganti rugi RM30 juta.

Saman fitnah itu berhubung beberapa hantaran di laman sosial membabitkan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang yang bergelar ‘Datin’.

Mohd. Na’im, 55, yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 17 Januari lalu dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan tunggal di Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Mohd. Na’im mendakwa defendan telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Januari dan 13 Januari lalu.

Selain itu, Abu Syafiq juga sebelum ini membuat tuduhan fitnah terhadap Mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan delegasinya dalam mengerjakan ibadah umrah Mac lalu.

Abu Syafiq dalam laman sosial Instagramnya mendakwa Muhyiddin dan delegasinya tidak mendapatkan vaksin ketika mengerjakan umrah di Arab Saudi.

Bagaimanapun, tuduhan tersebut dinafikan pejabat Mantan PM Kelapan tersebut dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan: