Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) paling sesuai dijalankan sekitar antara Julai dan September tahun ini, namun kerajaan perlu mengambil beberapa langkah segera sebelum ia dijalankan.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar mencadangkan tempoh waktu tersebut paling sesuai Parlimen dibubar dan PRU-15 dijalankan tetapi perlu terlebih dahulu menyelesaikan isu berhubung wakil rakyat lompat parti.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Wan Ahmad berkata PRU-15 bukan penyelesaian total jika akta antilompat parti tidak dikuatkuasakan.
Justeru, katanya, Rang Undang-Undang (RUU) akta berkenaan perlu dibentangkan terlebih dahulu selain dua lagi RUU iaitu Akta Pembiayaan Dana Politik dan Akta Mengehadkan Tempoh Dua Tahun Jawatan Perdana Menteri sebelum PRU-15 diadakan.
“Saya berpandangan Perdana Menteri wajar bubar Parlimen dalam tahun ini juga untuk memberi laluan kepada PRU-15 dengan tempoh paling sesuai antara Julai hingga September tahun ini.
“Bermakna bermula sekarang hingga Julai, kerajaan perlu serius menumpukan kepada pelaksanaan tiga reformasi politik itu yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengakui kerajaan akan tumbang jika mana-mana parti khususnya yang berpihak kepada kerajaan sedia ada mengambil keputusan menarik sokongan mereka.
Wan Ahmad berkata, jika tiga RUU itu dapat dibentangkan sebelum PRU-15, pasti kecelaruan dan kemelut politik yang melanda negara sejak PRU-14 hingga hari ini tidak akan berulang.
“Politik negara amat tidak stabil, amat menjejaskan ekonomi dan kehidupan rakyat. Justeru, opsyen terbaik sekarang ialah kembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.
“Rakyat harus diberi peluang untuk membuat keputusan bagi menzahirkan sebuah kerajaan yang kukuh, teguh dan stabil. Inilah yang terbaik untuk masa depan rakyat dan negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan