“WARTAWAN cilik” Muhammad Haziq Mohd Asyraf dari Bukit Selambau, Sungai Petani berhasrat untuk menemu ramah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika diberi kesempatan.
Kanak-kanak berusia 12 tahun itu berkata adalah menjadi impiannya untuk menemu bual pemimpin nombor satu negara itu secara bersemuka yang sebelum ini hanya ditonton di kaca televisyen.
“Memang nak jumpa kalau boleh. Kalau dapat jumpa PM (perdana menteri) nanti saya nak temu ramah PM dan juga akan sediakan donut dan roti yang akan saya buat untuk dihidangkan kepada PM,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau dekat Sungai Petani hari ini.
Muhammad Haziq meraih perhatian netizen dan menjadi popular selepas videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di sini, tular baru-baru ini.
Video tersebut yang dimuat naik di Facebook Putra Mar pada 24 Januari lepas sehingga kini telah menerima sebanyak 1.2 juta tontonan.
Ketika ditemui Muhammad Haziq yang juga minat memasak kelihatan seperti pendiam, namun perwatakannya berubah selepas diberikan mikrofon dan beraksi sebagai wartawan di hadapan kamera untuk membuat laporan berita.
Secara bersahaja dan tanpa kekok, kanak-kanak itu terus mendemonstrasikan kebolehannya membuat laporan mengenai dirinya dengan lancar dan petah diselangi loghat Kedah.
Ibunya, Nur Shakilla Zainol, 33, berkata dia dan suami Mohd Asyraf Ahmad, 37, amat menyokong minat Muhammad Haziq dan menggalakkannya untuk terus menghasilkan video laporan berita bagi mengasah bakatnya.
Katanya, sejak video pertama Muhammad Haziq mengenai penemuan ular sawa menjadi tular bulan lepas, banyak pihak yang tampil untuk memberikan sokongan kepada anak sulungnya itu yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Selambau.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang beri perhatian kepada anak saya, yang memberi sumbangan terutama untuk persekolahan dia dan seorang lagi anak perempuan saya,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Left Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub turut mengunjungi kediaman kanak-kanak itu dan menyampaikan sumbangan persekolahan kepada Muhammad Haziq dan adik perempuannya Sara Salsabilla, 7.
“Sumbangan ini sebagai bantuan dan sokongan kepada Muhammad Haziq supaya dia dapat menjadi pencetus kepada rakan-rakannya dan kanak-kanak lain supaya bergiat aktif dan membawa manfaat kepada masyarakat,” kata Awang Askandar.
Sebelum ini, Muhammad Haziq yang juga penghidap talasemia, turut mendapat perhatian Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkannya telefon bimbit.
Kanak-kanak itu juga dihadiahkan sebuah tablet oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, selain sumbangan persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan individu.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan