KUALA LUMPUR: Pelanggan pusat perjudian dalam talian diberi jaminan tidak akan ditangkap dalam sebarang operasi kerana sindiket itu 'mempunyai kenalan dalam kalangan pihak berkuasa'.
Penjaga premis itu memberi jaminan berkenaan kepada semua pelanggan, malah menawarkan minuman, makanan ringan dan minuman keras kepada setiap pelanggan untuk meneruskan aktiviti perjudian.
Tinjauan BH di beberapa premis perjudian dalam talian atau judi online sekitar Lembah Klang mendapati premis judi online kini kembali rancak beroperasi.
Tinjauan dan pemerhatian sejak seminggu lalu juga mendapati, kebanyakannya kini beroperasi di tingkat atas sesebuah premis yang didakwa menyukarkan pihak berkuasa mengesan aktiviti itu.
Sebelum ini, kebanyakan premis judi online terletak di tingkat bawah premis perniagaan atau rumah kedai dan berdepan dengan gerai mamak atau gerai masakan Thailand.
Pada awalnya, tujuh premis menjadi sasaran wartawan BH untuk membuat liputan secara sulit, namun disebabkan faktor keselamatan, hanya tiga kedai yang berjaya ditembusi.
Untuk masuk, pelanggan perlu memandang ke arah kamera litar tertutup (CCTV) di luar pintu masuk sesebuah premis, semuanya di tingkat atas sesebuah rumah kedai atau premis perniagaan, sebelum penjaga membuka kunci elektronik.
Hanya mereka yang dikenali oleh penjaga seperti pemain tetap yang sering berkunjung ke sesebuah premis atau pemain yang membawa kenalan baharu serta mereka yang mempunyai nombor telefon penjaga, dibenarkan masuk.
Sebaik melangkah ke dalam premis, terdapat pelbagai set komputer dan tablet yang menyediakan pelbagai jenis permainan perjudian, tersedia untuk digunakan pelanggan.
Pekerja asing warga Bangladesh dan Indonesia, yang diupah sebagai penjaga premis memasukkan mata kredit ke dalam komputer atau tablet yang hendak digunakan pelanggan, berdasarkan jumlah bayaran dibuat sebelum pertaruhan.
Beberapa pelanggan berkata, penjaga dan pekerja warga asing terbabit mampu menyembunyikan tablet dan set komputer perjudian atau menghilangkan bukti dalam masa yang singkat jika menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Pemerhatian di setiap kedai mesin judi itu juga mendapati, sindiket terbabit menempatkan individu tertentu atau samseng di tingkat bawah premis bagi memantau kehadiran pihak yang membongkarkan kegiatan mereka, termasuk media.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan