KOTA BHARU: Farmasi Superbig Kubang Kerian, di sini menjadi farmasi komuniti pertama di negara ini menggunakan konsep pandu lalu.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang, berkata kaunter pengambilan ubat secara pandu lalu adalah alternatif terbaik yang perlu diakses ketika penularan COVID-19.
"Pelanggan memesan ubat dari dalam kenderaan di kaunter pandu lalu yang mana secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko penularan pandemik COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Farmasi Komuniti Pandu Lalu Pertama Malaysia oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Superbig Capital Berhad, Dr Wan Sazrina Wan Zaid.
Hingga kini terdapat 22,000 ahli farmasi di seluruh negara yang berdaftar dengan MPS termasuk 4,000 ahli farmasi komuniti.
Sementara itu, Dr Wan Sazrina berkata, kaunter pandu lalu farmasi itu mampu mengurangkan kapasiti orang ramai di kaunter farmasi hospital.
"Dalam keadaan sekarang, pelanggan lebih cenderung mengunjungi farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat serta vitamin.
"Ini sebahagian usaha mengelak daripada bersesak di hospital dan klinik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan