Khamis, 28 November 2019

PH masih mentah, beri mereka peluang

Mohd Zaini Samsu Hadi

Pakatan-Harapan


PUTRAJAYA – Orang ramai memberikan pandangan berbeza-beza mengenai prestasi pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas hampir 18 bulan membentuk kerajaan menggantikan Barisan Nasional (BN) sejak Mei tahun lalu.

Ada dalam kalangan mereka menghentam malah ada yang masih menaruh harapan agar kerajaan hari ini diberi peluang kerana masih baharu dan mungkin masih ‘kekok’ untuk menguruskan negara.

Meskipun mengetahui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukan orang baharu dalam kerajaan tetapi barisan kabinetnya boleh dianggap masih ‘mentah’ untuk memainkan peranan masing-masing.

Zulkefley Sharif, 61, berpendapat, apa yang berlaku ketika ini lebih kepada perkara bersifat retorik dan terlalu banyak berpolitik.

Katanya, rakyat memberi mandat kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu supaya mereka dapat mengubah cara berpolitik di Malaysia kepada sistem yang lebih sihat untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat.
MGF27112019_TEMUBUAL-ORANG-AWAM03
Zulkefley Abdul Khalid
“Tapi, apabila sudah diberi mandat oleh rakyat kita dapati apa yang dilaung-laungkan sebelum ni, nak kata tak ada tapi ada jugalah yang tercapai. Cuma banyak lagi yang belum tercapai daripada apa yang dilaungkan itu.

“Saya sebagai salah seorang yang mahukan pembaharuan pada PRU lepas rasa kecewa dengan apa yang terjadi ketika ini.

“Saya sebagai pemandu teksi dah tentunya merasai kesusahan apabila nak hapus itu ini (e-hailing).
Tapi nampaknya sekarang ini semua itu semakin berlambak pula. Ini sudah semestinya memberi tekanan kepada pemandu teksi seperti saya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semalam.

Seorang pesara tentera, Baharom Sharif, 61, pula menyifatkan tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan pentandibran PH sekarang selain hanya meninggalkan beban secara langsung kepada rakyat.

Walaupun enggan memberikan sebarang markah kepada PH, Baharom turut menyatakan beliau tidak berpuas hati dengan kerajaan baharu yang disifatkan tidak berprestasi langsung.
MGF27112019_TEMUBUAL-ORANG-AWAM04
Baharom Sharif
“Tak ada apa pun yang boleh dibanggakan dengan PH ni. Subsidi semua ditarik balik. Apa yang kita dapat?

“Sekarang ini lagilah, dekat tol dah tak boleh nak top up, bila pergi stesen minyak kena caj pula. Apa yang senang untuk rakyat. Saya tak nampak pun itu akan menyenangkan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Shamsuddin Abu Zarin, 48, menggesa rakyat supaya memberikan peluang kepada PH untuk mencorak patadbiran negara tanpa diganggu.

Katanya, rakyat harus memberi peluang kerana bukan mudah memacu negara yang sedang bergelut dengan pelbagai masalah dan isu sebagaimana diketahui umum.

“Sekarang ini kerajaan masih baharu lagi, dalam proses nak perbetul apa yang berlaku dahulu.
“Saya rasa bagi peluang untuk buktikan keupayaan mereka dan buatlah yang terbaik untuk rakyat,” katanya.
MGF27112019_TEMUBUAL-ORANG-AWAM05
Shamsuddin Abu Zarim
Ketika diminta pandangannya terhadap prestasi menteri yang dilihat menonjol dalam portfolionya, Shamsuddin  memilih Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo kerana sering dilaporkan di media massa. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: