Musibah banjir melanda Telemong di Karak, Pahang memaksa komuniti Cina daerah itu melupakan kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina.
Langit cerah dan awan putih yang berarak di Telemong di Karak, Pahang seakan tidak memahami isi hati Ho Kai Yip yang masih cuba menelan realiti bencana di kampungnya.
Warga emas berusia 56 itu baru mengalami musibah yang terburuk dalam hidup apabila rumahnya ditenggelami banjir pada Disember lepas.
Tiada apa yang tinggal dalam rumah tersebut yang terletak berhampiran sebatang sungai, selepas segala harta benda milik keluarga Ho dihanyutkan banjir.
Di ruang antara dinding dan atap rumah itu, kelihatan tilam yang tidak diketahui pemiliknya.
“Setiap tahun kami akan makan besar di rumah ini pada tahun baru.
“Sebelum perintah kawalan pergerakan, anak-anak akan balik dari Singapura dan meraikannya dengan kami,” katanya kepada MalaysiaNow.
Katanya, perayaan akan disambut bersama komuniti setempat dengan bersemangat setiap tahun, namun tahun ini kemeriahan Tahun Baru Cina tidak terlintas di fikirannya.
Perayaan itu sinonim dengan kemeriahan gong, tarian singa, ang pau dan limau.
Tetapi bagi Ho dan keluarga, hanya lumpur dan selut menemani sambutan tahun baru kali ini.
Kesibukan menyediakan jamuan dan perayaan digantikan dengan kerja mengorek lumpur dan membersih rumah.
“Sekarang ini, kami hanya fikir macam mana keadaan rumah. Nak tinggal di mana pun tak tahu,” katanya yang menumpang rumah jiran berhampiran.
Sukar mengagak raut muka Ho kerana pelitup muka yang dipakainya, namun nada suaranya menyingkap rasa hiba lelaki itu.
Ho dan isteri bekerja sebagai penoreh getah sejak muda masih tiada waktu untuk melihat ladang getahnya kerana terlalu sibuk dengan rumah mereka yang rosak teruk.
Jalan menuju ladang getah itu juga mendap akibat lebihan air.
Ia bermakna Ho tidak boleh memandu kenderaannya untuk memasuki ladang getah.
Isteri dan anak bongsunya dihantar menumpang rumah saudaranya di Kuala Lumpur selepas kejadian banjir itu.
Bertambah malang apabila kedua-dua anak lelaki mereka pula kehilangan punca pendapatan dan terpaksa pulang ke kampung selepas pandemik Covid-19 melanda.
Rumah setingkat milik keluarganya masih utuh.
Di kelilingi bukit-bukau yang menghijau dan ladang kelapa sawit kawasan itu mempunyai suasana kampung yang tenang dan damai.
Namun kini jalan masuk ke kawasan berkenaan dipenuhi lumpur dan kayu balak yang tersadai.
Seperti Ho, rumah-rumah lain turut terjejas teruk.
Kawasan itu mempunyai kira-kira 12 rumah.
Dua daripada rumah itu hanyut tanpa meninggalkan jejak.
Ho bernasib baik kerana beberapa kumpulan sukarelawan membantu membersihkan selut sedalam satu kaki di dalam rumahnya.
Ketika ditemui, dia dan dua orang anak lelakinya masih tekun membuang lumpur dan membersihkan ruang dalam rumah.
Mengenakan baju T, seluar pendek dan kasut but, mereka menggunakan kereta sorong dan penyodok dan meneruskan kerja pembersihan tanpa dibantu sesiapa.
Lumpur masih memenuhi ruang sebuah bilik.
Kelihatan seakan usaha pembersihan akan mengambil masa yang cukup lama dan akan memerah kudrat ketiga-tiga beranak itu.
“Saya ada menerima bantuan RM1,500. Saya ada dengar mengenai bantuan lebih RM10,000 tetapi saya tak tahu macam mana hendak mohon.
“Tanya ketua kampung pun dia tak tahu,” katanya merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada tahun baru mengenai bantuan kepada mangsa banjir.
Sesekali kedengaran bunyi enjin motor dan lori yang keluar masuk di kawasan itu memecah kesunyian.
Paip air di depan rumahnya bocor akibat kayu-kayan yang hanyut, mengeluarkan air tanpa henti.
Banjir ini akan meninggalkan kesan yang dalam terhadap Ho dan ribuan mangsa lain.
Lama selepas surutnya air, bau busuk lumpur akan terus menghantui kawasan itu dan memori Tahun Baru Cina keluarga Ho.
Hanya azam untuk meneruskan kelangsungan hidup demi keluarga mampu menguatkan Ho untuk menghadapi kehidupan pada hari-hari mendatang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan