Tidak ketinggalan 16 projek land swap melibatkan tanah seluas 1,183 hektar
KUALA LUMPUR
– Isu 16 projek ‘land swap’ yang melibatkan 1,183 hektar tanah milik
Kementerian Pertahanan bernilai RM4.7 bilion antara yang dijangka
menghangatkan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ia terkandung pada soalan pertama sesi
Waktu Pentanyaan-Pertanyaan Menteri yang dibangkitkan Ahmad Fahmi
Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang turut ingin tahu status tindakan
kerajaan terhadap semua pihak yang terlibat dengan pembelian enam
helikopter McDonnell Douglas yang masih tidak diterima sehingga kini.
Selain itu, turut dibangkitkan ialah
pertanyaan dari Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu sama ada
sistem e-Lelong akan dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Malaya dan sama
ada kajian impak kepada sara hidup pelelong bertauliah telah dijalankan.
Tumpuan juga dijangka pada sesi soal
pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan yang antara lain soalan Cha Kee
Chin (PH-Rasah) yang ingin tahu secara menyeluruh cara pelaksanaan
penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang diumumkan baru-baru ini.
Soalan lain seperti dipaparkan dalam
laman web Parlimen itu ialah daripada Datuk Seri Bung Moktar Radin
(BN-Kinabatangan) yang meminta penjelasan berkaitan perancangan jangka
pendek dan jangka panjang Kerajaan dalam membangunkan ekonomi negara dan
bagaimanakah ianya mampu meningkatkan pendapatan per kapita.
Turut mencuri tumpuan adalah pertanyaan
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) yang meminta penjelasan kerajaan untuk
langkah membendung gejala jenayah seksual seperti perzinaan, sumbang
mahram, khalwat dan LGBT yang semakin berleluasa dalam masyarakat hari
ini.
Usai sesi itu, persidangan beralih pula
kepada pembentangan Kementerian Kewangan berkaitan Rang Undang-Undang
(RUU) Cukai Pendapatan (Pindaan) 2019, Rang Undang-Undang Petroleum
(Cukai Pendapatan) (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Cukai Aktiviti
Perniagaan Labuan (Pindaan) 2019.
Persidangan kemudian terarah kepada Rang
Undang-Undang Perbekalan 2020 berkenaan Belanjawan 2020 sebelum berehat
dan bersambung pada Isnin.
Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember depan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan