AGENDA DAILY
Beberapa siri hujan lebat secara menyeluruh dijangka berlaku terutama di negeri pantai timur Semenanjung, barat Sarawak dan timur Sabah susulan fasa Monsun Timur Laut yang bermula sejak 3 Nov tahun lepas dijangka berterusan hingga Mac ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, tinjauan cuaca bagi tempoh Februari hingga Mac sepanjang tempoh monsun berkenaan, negara cenderung menerima tiupan angin lebih kencang dan berterusan dari arah timur laut berkelajuan 10 hingga 20 kilometer per jam, menurut laporan Bernama.
MetMalaysia melaporkan, tinjauan cuaca tersebut dikeluarkan berdasarkan analisis beberapa model tinjauan iklim terpilih antaranya NCEP Coupled Forecast System Model Version 2 (CFSv2), JMA Ensemble Prediction System (Tokyo Climate Centre) dan European Centre for Medium Range Weather Forecast (ECMWF).
“Pada bulan ini (Februari), kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka menerima hujan pada paras purata antara tiada hujan hingga 250 milimeter (mm). Di Sarawak, paras purata hujan antara 150 mm hingga 400 mm akan melibatkan kebanyakan kawasan kecuali Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu dengan jangkaan 300 mm hingga 700 mm,” menurut kenyataan tersebut.
Bahagian pantai barat dan pedalaman Sabah pula dijangka menerima hujan pada paras 50 mm hingga 100 mm manakala Kudat, Sandakan dan Tawau akan menerima hujan berlebihan sedikit sehingga 400 mm pada bulan ini.
Menurut MetMalaysia, kebanyakan kawasan di Semenanjung akan menerima paras purata hujan 100 mm hingga 350 mm dan 50 mm hingga 400 mm masing-masing pada Mac dan April.
Pada bulan depan, kebanyakan kawasan di Sarawak akan mengalami hujan pada purata 150 mm hingga 450 mm manakala pada April, Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu dijangka menerima hujan sedikit pada kadar bawah purata.
MetMalaysia memaklumkan Kudat, Sandakan dan Tawau di Sabah pada Mac pula dijangka menerima hujan berlebihan dengan purata 150 mm hingga 300 mm dan pada April hujan dengan purata 50 mm hingga 250 mm akan turun di negeri berkenaan.
Pada Mei, MetMalaysia memberitahu fasa Monsun Barat Daya diramal mempengaruhi cuaca negara dengan tiupan angin dari arah barat daya sepanjang tempoh monsun berkenaan.
Melaka, Pahang (Pekan dan Rompin) dan Johor pada bulan itu juga akan menerima hujan sedikit bawah purata antara 50 mm hingga 200 mm.
“Begitu juga di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei dan Betong di Sarawak dengan purata 150 mm hingga 200 mm. Sabah pula akan menerima hujan berpurata 50 mm hingga 350 mm,” menurut kenyataan itu.
Pada Jun dan Julai, kebanyakan negeri di Semenanjung akan menerima hujan dengan paras purata 100 mm hingga 300 mm dan Sarawak pula masing-masing dengan purata 150 mm hingga 300 mm dan 150 mm hingga 350 mm.
“Sabah dijangka menerima hujan berpurata 100 mm hingga 350 mm pada kedua-dua bulan berkenaan, dan secara keseluruhannya, MetMalaysia menjangkakan Wilayah Persekutuan Labuan akan menerima paras hujan tertinggi pada Mei, Jun dan Julai iaitu 350 mm,” menurut kenyataan itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan