Lapor pada SKMM jika terdapat ajaran itu disebar melalui media sosial
PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengarahkan Jabatan Agama Islam di setiap negeri untuk memantau penyebaran ajaran sesat kumpulan Gerakan Akhir Zaman (Gaza).
Idris berkata, jika terdapat aduan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menghubungi negeri berkenaan untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Manakala jika terdapat aduan ajaran sesat itu disebar di platform media sosial, beliau berkata, pihaknya akan melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Dalam pada itu, Idris menyeru agar semua umat Islam di negara ini tidak terpedaya dengan dakyah sesat kumpulan tersebut.
“Soal agama kena mengaji dengan guru, bukan YouTube atau Google dan kena ada asas pengetahuan agama.
“Apabila kita ada asas dan mengaji dengan guru, benda (Gerakan Akhir Zaman) itu tidak logik,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kumpulan berasal dari Indonesia itu mengajak orang ramai mempercayai seorang lelaki dari Pakistan, Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah SWT di dalam mimpinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan