PETALING JAYA: Malaysia bersedia menangani lonjakan kes jangkitan Covid-19 susulan ancaman varian Omicron berikutan program vaksinasi yang berjalan lancar dan penggunaan kapasiti hospital yang terkawal.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keadaan pada masa ini tidak sama seperti Jun hingga September lalu kerana negara lebih bersedia dan lebih dilindungi melalui vaksinasi di bawah pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, negara kini juga lebih bersedia dengan mengetahui perkara yang perlu dilakukan terutamanya untuk melindungi golongan yang lebih berisiko.
“Lebih sebulan yang lalu, saya berkata bahawa kita menjangkakan Omicron akan menjadi dominan di sini seperti yang berlaku di tempat lain, dan apabila ia berlaku, kes akan meningkat. Itulah sebabnya kami mempercepatkan program suntikan dos penggalak.
“Kita kini melihat ramalan peningkatan pantas dalam kes (positif Covid-19). Walau bagaimanapun, tidak perlu panik. Terdapat petunjuk kukuh untuk penyahgadingan antara kesan yang teruk dengan jumlah kes.
“Program vaksinasi kami dewasa, remaja, dan kanak-kanak tidak lama lagi berjalan lancar. Penggunaan kapasiti hospital kekal terkawal, dan kita bersedia untuk menghadapi lonjakan.
“Sebab itulah, kita boleh memendekkan tempoh kuarantin, membenarkan orang ramai mengawal diri dan mengawal gangguan pada tahap minimum,” katanya dalam satu hantaran di Twitter, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya mempunyai harapan yang besar bahawa negara dapat mengharungi gelombang Omicron dengan langkah yang ditentukur dengan teliti dan berkadar.
“Ini dengan lebih daripada 50 peratus orang dewasa (dan hampir 70 peratus warga tua) telah mendapat suntikan dos penggalak.
“Ikut prosedur operasi standard (SOP), TRIIS (ujian saringan, melaporkan hasil ujian saringan, menjalani kuarantin, memaklumkan pada kontak rapat jika positif dan mendapatkan rawatan segera), ambil dos penggalak, pastikan anak-anak anda divaksin. Kita boleh lakukan ini,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan