MSO
Empat hari saya meninggalkan laman blog tanpa mengisinya dengan
sebarang catatan kerana berada di luar negara, ada beberapa penjengok
setia menghantar pesan bertanya kenapa dan apa jadi dengan saya. Ada
yang bersinikal apakah saya juga sudah jadi persis Zainuddin Maidin?
Yang pertama ada dalam fikiran mereka, apakah saya sakit. Tidak, saya
masih sihat dan sengaja tidak mahu mengisinya atau cuba mengisinya dari
luar sana walaupun boleh berbuat demikian. Sesekali biarlah saya merihat
dan menggamit idea yang lebih baik daripada menulis bahan-bahan seperti
terisi sebelumnya.
Dalam beberapa pertanyaan yang ditimbulkan, banyaknya pastilah mengenai
politik. Mengenai hubungan dan masa depan parti-parti dalam Pakatan
Rakyat, khasnya bagaimana kesudahan kahwin tanpa ijab antara Pas dengan
DAP serta PKR. Pergaduhan mulut antara beberapa pemimpin Pas dengan DAP
menjadikan ada orang bingung dan menjadi gila. Apakah selepas ini akan
ada "cina buta" sekali lagi di antara keduanya?
Selebihnya ada yang mahu saya memberi ulasan tentang
nasib untung Anwar Ibrahim dengan keputusan rayuan pendakwa di Mahkamah
Persekutuan. Apakah Anwar akan "bernasyib" sekali lagi dalam penjara
atau dibebaskan untuk beliau menjadi seperti seorang 'utun inji" untuk
kali kedua? Sekiranya Anwar dibebaskan di atas pertuduhan sama kali
kedua, beliau bolehlah dianggap sebagai manusia keramat. Dan dengan
kekeramatan itu melayak dan mewajarkan untuk beliau menjadi perdana
menteri.
Mengenai Anwar saya sudah membuat ulasan dan ramalan sebelum ini.
Berdasar kepada keperluan politik kontemporari tidak ada sebab untuk
regim Najib Razak memenjarakannya. Perkembangan muasir ini, serangan
oleh regim Mahathir Mohamad kepada Najib bagi saya ia mengukuhkan untuk
mengatakan ramalan saya mengenai Anwar kuat dan menjadi kenyataannya.
Anwar akan bebas?
Dan bagaimana kalau Anwar tetap juga dipenjara. Siapakah yang akan
menjadi pemegang panji Pakatan Rakyat atau peta Pakatan Rakyat yang
membingkai membentuk empayar akan runtuh begitu sahaja? Pakatan Rakyat
selepas ini tidak ada. Tentunya persoalan dan ramalan ini diandaikan
memandangkan Anwar adalah mediator licit dan bijak "mendempetkan" Pas
dan DAP yang memegang unsur bagaikan api dengan minyak.
Ada juga yang bertanya bagaimana nasib Pakatan Rakyat sekiranya Anwar ke
penjara. Mereka yang meletakkan kompas dan mata angin perjuangan mereka
kepada Anwar, merasakan Pakatan Rakyat akan luyur sekiranya Anwar
berada dalam penjara. Bagi mereka yang menjadikan Anwar sebagai teras
perjuangan atau pengobor semangat akan lemah bila Anwar dikurung.
Sebaliknya bagi mereka yang menjadikan Anwar sebagai pembuka semangat
(appetizer) dalam perjuangan, tidak kisah Anwar ada atau tidak,
perjuangan mereka yang bertolak dari reformasi menuntut keadilan,
kebenaran dan ketelusan akan diteruskan. Perjuangan mengeakkan keadilan
tidak berasas dan bersendikan kepada peribadi seseorang, tetapi
keyakinan dan iltizam dari pancar budi kita sendiri. Kalau umat Islam
berjuang menegakkan agama (ad-den) kerana berteraskan kepada Muhammad
s.a.w., sudah lama Islam itu lenyak kerana Muhammad sudah lama mati.
Rentetan dari itu semua ada yang bertanya apakah perkembangan politik
hari ini dimana ia seolah dirancang, merealisasikan pertemuan dan
kerjasama politik antara Pas dengan Umno? Mengenai ini saya boleh
mengatakan cita-cita dan harapan boleh digarap bersama, tetapi politik
(strategi) tidak boleh digabung. Politik adalah peperangan, ia adalah
api, lautan dan gunung ganang yang "rohok" (sukar dan payah) untuk
disatu dan dipadukan.
Pas dengan Umno hanya boleh disatukan diatas kertas dan wujud daripada
pemikiran yang idealis, tetapi sukar untuk menjelma menjadi realiti yang
praktis. Ketam boleh dimasukan dalam satu bakul dijunjung dan dipikul
sipenjaja, tetapi makhluk dalam bakul itu tetap akan bercakaran dalam
bekas itu akhirnya menganggui si pemikul bakul.
Kita semua adalah si pemikul bakul itu akan melakukan kerja yang sia-sia untuk melihat kerja kita itu kesampaian.
Melainkan ketam-ketam itu, Pas dan Umno dimatikan kemudian dihidupkan semula dalam alam baru. Sekian.