MALAYSIAKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau dan
timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mencari formula terbaik dalam usaha menyelesaikan kemelut MIC.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menarik perhatian bahawa
MIC telah menerima saranannya supaya pihak bertelagah menghormati
moratorium untuk sementara.
"MIC merupakan rakan kita yang penting dalam Barisan Nasional. Kita
memerlukan sebuah MIC yang kukuh dan boleh bantu kita dalam semua
aspek," katanya kepada pemberita hari ini.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas mempengerusikan
mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di
Kuala Lumpur hari ini.
"Kita tengah tengok formula yang baik-baik," tegas Najib.
Perbezaan pendapat timbul dalam MIC berikutan arahan Pendaftar
Pertubuhan (ROS) pada Disember lalu supaya parti itu mengadakan
pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 anggota
jawatankuasa pusat (CWC).
ROS mengarahkan pemilihan semula dilakukan susulan dakwaan wujud
penyelewengan dan perbuatan salah laku yang melanggar perlembagaan parti
dan Akta Pertubuhan dalam pemilihan yang diadakan semasa perhimpunan
agung parti itu di Melaka pada November 2013.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan