shahbudindotcom
Jadual
programnya yang sudah tersebar luas itu secara tidak langsung
mengesahkan bahawa Anwar tetap dengan sifat berani serta keyakinan tidak
bersalahnya pada hari penentuan 10 Februari nanti.
Semalam,
NGO Tibai dan peguam Zulkifli Noordin telah membuat laporan polis
mendesak pihak berkuasa melakukan pemerhatian lebih rapi terhadap
pergerakan Anwar, termasuk merampas pasport antarabangsanya bagi
mengelakkan kemungkinan kononnya Ketua Pembangkang itu melarikan diri ke
luar negara.
Apa yang berlaku kepada Sirul
Azhar Umar, pesalah hukuman mati dalam kes pembunuhan Altantuya yang
menghilangkan diri pada hari penghakiman dan kemudian didapati melarikan
diri ke Australia telah dijadikan rujukan tentang kebarangkalian Anwar
juga dikatakan bakal melakukan tindakan yang sama.
Namun
dengan pihak Anwar sudah mengeluarkan jadual jelajahnya ke seluruh
negara mulai semalam, secara langsung menafikan kemungkinan yang
dibimbangi itu. Anwar kekal menunjukkan jiwa berani dan mempertahankan
pendirian "lawan tetap lawan" yang menjadi pegangannnya selama ini.
Didapati bersalah atau tidak, Anwar akan menghadapinya secara berdepan dan jiwa yang kental segala kemungkinannya.
Di
sebalik bibit-bibit perpecahan yang kian melebar dalam PR, terutama
berkaitan hubungan Pas dengan DAP serta Pas dengan Pasma, jelajah Anwar
ke seluruh negara ini adalah medan terbaik untuk kembali menyatukan
semula elemen itu.
Jika Anwar dipenjarakan pula, ia adalah peluang terakhir untuk bertemu dan mendengar ucapan serta amanatnya.
Rakyat
secara umumnya tetap dahagakan perubahan dan masih kecewa dengan
prestasi kerajaan menguruskan pelbagai isu dalam negara sejak PRU 13
lalu. Harapan majoriti rakyat ialah PR yang dirasakan mampu menjadi
alternatif kepada BN segera menjernihkan hubungan sesama mereka dan
menunjukkan kematangan yang lebih baik lagi.
Memang
ramai yang mengharapkan Anwar akan dibebaskan agar dapat menyusun dan
memperbaiki segala permasalahan antara parti dalam PR, tetapi keinginan
kepada perubahan juga sebenarnya tidak berganjak jika Anwar
dipenjarakan.
Anwar yang telah memberi
sumbangan besar dalam membentuk dan mengukuhkan PR selama ini, tidaklah
begitu mudah dilupakan segala jasa dan sumbangannya.
Kejayaannya
membentuk kekuatan pembangkang yang hampir seimbang dengan BN sehingga
rakyat memperolehi pelbagai nikmat dan tidak mudah diperlekeh oleh
kerajaan yang terlalu dominan adalah sesuatu yang harus diakui oleh
semua pihak.
Ditambah dengan wajah dan watak
Najib yang memimpin negara ketika ini, kalaulah pembangkang tidak kuat
dan BN berada dalam kedudukan majoriti dua pertiga, sudah tentu kita
boleh membayangkan lebih banyak hal yang mendukacitakan lagi berlaku
dalam negara ini.
Sekurang-kurangnya dengan
adanya pembangkang yang kuat, hak rakyat lebih dijaga dan dipertahankan
dan kerajaan tidak sewenang-wenangnya bertindak.
Jika
dibebaskan, PRU 14 adalah peluang terbaik untuk Anwar mengumpul kembali
kekuatannya bersama PR, tetapi kalau takdirnya dipenjarakan pula, ia
bukanlah pula zaman senang-lenang untuk BN dan kerajaan menghadapi
pilihanraya akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan