Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Sekalipun tidak bersetuju dengan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan, perselisihan harus diselesaikan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat dan bukannya dengan tindakan cabar mencabar.
Demikian kata Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari mengulas cabaran debat oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
“Adalah paling adfal sekiranya Mustafa boleh memujuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menghadiri mesyuarat tersebut agar kesudahan dapat dicapai berhubung masalah yang berlarutan ini.
“Pun begitu, jika Mustafa benar-benar merasai bahawa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak berlaku jujur mengenai perkara ini, beliau hanya perlu mengambil tindakan saman.
“Biar apa pun tindakan PAS dan Mustafa, biarlah isu ini diselesaikan secara dalaman atau dalam mahkamah, daripada terus tuduh-menuduh dan cabar-mencabar secara terbuka,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Namun demikian, Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu menegaskan, hujah Mustafa kononnya dasar bersama PR tidak pernah menyebut soal pilihanraya kerajaan tempatan adalah salah dan tidak tepat sama sekali.
“Dasar bersama PR yang dipersetujui ketiga-tiga parti komponen amat jelas mengandungi ayat ‘mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan secara demokratik’.
“Dalam konteks ini, bukankah usaha kerajaan negeri itu selari dengan dasar ‘mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan secara demokratik?” soalnya tegas.
Menurut Zairil, hubungan PAS-DAP pada peringkat tertinggi dilihat semakin renggang ekoran kenyataan Mustafa yang mencabar Guan Eng untuk bersemuka bagi menentukan siapa berbohong atau sebaliknya dalam usaha memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.
“Mustafa terus menepuk dada menyelar Guan Eng sebagai ‘mulut celupar’ sambil menafikan bahawa pimpinan tertinggi partinya pernah mempersetujui dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meluluskan enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan pada tahun 2012.
Sepertimana pernah dijelaskan katanya, Guan Eng sendiri telah menghubungi Mustafa dan Hadi melalui telefon untuk membincangkan isu ini.
“Mustafa dan Hadi tidak pun membantah tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika itu.
“Malah Adun PAS di Pulau Pinang juga tidak membantah atau membangkang apabila rang undang-undang enakmen tersebut diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN),” ujar Zairil. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan