Sabtu, 29 Mac 2014

Tiada pengundi hantu dalam PRK Kajang, kata pemantau

Mafrel juga mendakwa tidak menerima apa-apa laporan atau aduan mengenai pengundi hantu. 

Kajang N25


PETALING JAYA: Badan bebas pemantau pilihan raya(Mafrel) mendakwa pengundi Kajang berpuas hati dengan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya kecil 23 Mac lalu.

Mafrel juga mendakwa tidak menerima apa-apa laporan atau aduan mengenai pengundi hantu.
Setiausaha Mafrel Arphan Ahmad berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini berdasarkan laporan mengenai pilihan raya Kajang.

Mafrel mempunyai pengalaman luas dalam pemantauan pilihan raya di negara ini.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mengalahkan Naib Presiden MCA, DAtuk Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379  undi.

Arphan berkata, 11 sukarelawan Mafrel telah menjalankan tugas-tugas memerhati proses pembuangan undi pada 23 Mac dan mereka dibahagikan kepada tiga  pasukan.

“Dalam pemerhatian Mafrel isu dakwat kekal tidak timbul kerana pengundi puas hati dengan dakwat yang digunakan.

“Insiden pengundi hantu juga tidak timbul, atau sekurang-kurangnya tiada apa-apa laporan atau aduan yang dapat dikesan atau diterima oleh pemerhati Mafrel.

“Pondok panas juga tidak kelihatan di kebanyakan pusat mengundi,   sebaliknya parti-parti bertanding banyak menggunakan rumah-rumah kedai, warung, rumah-rumah kediaman dan payung pacak sebagai pusat-pusat operasi mereka.

“Petugas Mafrel bagaimanapun telah melaporkan satu insiden di mana pekerja parti telah ditahan oleh anggota PDRM kerana enggan menurunkan khemah yang didirikan sebagai pondok panas dalam kawasan larangan,” katanya.

Kelakuan penyokong

Arphan menambah, kelakuan penyokong-penyokong parti bolehlah dikatakan sebagai terkawal walau pun terdapat juga kata-kata kasar dan agak lucah yang dituturkan, serta perbuatan lucah yang dipamerkan.

Bagaimanapun, insiden-insiden tersebut tidaklah sebegitu hebat seperti mana yang pernah berlaku di pilihan-pilihan raya kecil atau pilihan raya umum sebelum ini.

Sebagai contoh, di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Batu 10 Cheras, pihak PDRM di atas nasihat petugas Mafrel telah memisahkan penyokong kedua parti yang bertanding dan ini telah melegakan dan meredakan suasana yang agak tegang sebelum itu.

Beliau berkata, jumlah pegawai keselamatan (PDRM) yang bertugas jelas kurang dari PRK-PRK yang lalu.

Begitu juga penampilan  penempatan mereka tidak begitu kelihatan, mungkin kerana berdekatan dengan markas sedia ada seperti Markas Pasukan Gerakan Am di Cheras.

Namun katanya, kehadiran pasukan unit simpanan persekutuan (FRU) dan Light Strike Force (LSF) dalam jumlah yang besar boleh mencetuskan perasaan takut atau intimidasi kepada pengundi-pengundi.

“Ini berlaku di Pusat-pusat Mengundi di kawasan Sungai Chua yang majoritinya adalah pengundi Cina.  Walau bagaimana pun sekiranya difikirkan perlu oleh pihak berkuasa untuk mengawal keselamatan maka mereka harus ditempatkan dengan jumlah yang bersesuaian tanpa mengganggu-gugat pengundi,” katanya lagi.

7.    Arphan berkata, penyokong parti masih lagi menggunakan kanak-kanak untuk berkempen seperti di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Sekamat terdapat sekumpulan kanak-kanak yang menunggang basikal membawa bendera parti.

Juga ada laporan dari petugas Mafrel berkaitan dengan kanak-kanak tersebut bertanyakan di mana mereka harus pergi untuk mendapatkan bayaran `wang minyak’ yang dijanjikan.

Krew tv masuk kawasan larangan

“Petugas Mafrel juga menerima aduan dari seorang pekerja parti mengenai tindakan petugas SPR yang dirasakan tidak adil apabila membenarkan krew dari Stesyen TV3 memasuki kawasan larangan pusat mengundi dan membuat liputan dan penggambaran dalam kawasan tersebut.

“Malangnya petugas Mafrel tidak dapat menghubungi ketua tempat mengundi atau pegawai PDRM yang bertugas di pusat tersebut untuk menyampaikan aduan/bantahan tersebut,” katanya lagi.

Arphan menambah, kemudahan untuk warga emas dan pengundi-pengundi OKU seperti kerusi roda, walau pun disediakan, tidak begitu efektif dan tidak dapat dimanfaatkan oleh mereka yang disasarkan.

Katanya, petugas Mafrel juga melaporkan bahwa kawalan keluar masuk ke kawasan larangan (zon 50 meter) di SK Sungai Sekamat sangat lemah.

Petugas dapat lihat kenderaan-kenderaan jabatan-jabatan kerajaan, kenderaan TNB dan juga individu keluar masuk tanpa diperiksa.  Ini mengundang syak wasangka mungkinkah kenderaan-kenderaan tersebut membawa pengundi hantu.

Cadangan Mafrel

Berikutan itu, Mafrel mencadangkan, jumlah petugas keselamatan perlu dikurangkan dan penampilan mereka dari segi senjata dan kelengkapan perlu berkadar dengan suasana untuk mewujudkan suasana terbuka di mana tiada perasaan takut dan curiga di kalangan pengundi-pengundi.

2.    Pegawai keselamatan akan lebih efektif sekiranya ditempatkan untuk mengawal penyokong-penyokong parti.

Pada kali ini disebabkan ketiadaan petugas-petugas dari Unit Amal daripada PAS kelihatan di setengah tempat suasana agak tegang, walau pun terkawal.

“Di pusat mengundi SK Sungai Sekamat telah berlaku sedikit kekacauan (scuffle) melibatkan seorang menteri pusat dan penyokong parti-parti bertanding.

“Pihak keselamatan perlu membuat perancangan untuk memisahkan penyokong-penyokong parti.  Pengalaman telah menunjukkan bahawa membiarkan mereka berhadapan akan mengundang masalah dan kekacauan.

“Pihak Keselamatan juga perlu merancang untuk mempastikan perjalanan dan aliran trafik adalah baik dan tidak mengganggu pengundi-pengundi dan penduduk tempatan.  Di Sungai Sekamat, penduduk tempatan berang apabila kereta mereka tidak dibenarkan masuk ke jalan menghala ke rumah mereka.

4.    Tempoh bertenang seharusnya dihormati (walaupun satu hari sahaja pada hari mengundi) di mana tiada lagi kempen dan meraih undi boleh berlaku. Ini supaya pemilih boleh keluar mengundi dengan tenang tanpa desakan, tekanan dan kesusahan,” kata Arphan lagi.

Tiada ulasan: