Memaparkan catatan dengan label PRK - BATANG AI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK - BATANG AI. Papar semua catatan

Jumaat, 1 Oktober 2010

Ahmad Maslan: Galas jadi medan tebus kekalahan BN di Manik Urai

BERNAMA

KUANTAN — Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dilihat sebagai medan untuk Barisan Nasional (BN) menebus kekalahan tipis parti itu kepada PAS bagi kawasan Manik Urai tahun lepas.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, dengan persiapan rapi dan kerja sama semua parti komponen BN, beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada Umno, sekaligus merampas kerusi yang dipegang Pas selama lebih 20 tahun itu.

“Kita yakin dengan persiapan rapi, kita boleh menang di Galas, jika di Manik Urai kita tewas dengan 65 undi, kita berazam untuk jadikan Galas sebagai medan menebus kekalahan itu,” katanya kepada pemberita pada majlis pemimpin bersama penduduk Felda Sungai Panching Selatan di sini hari ini.

Pada 14 Julai tahun lalu, calon Pas Mohd Fauzi Abdullah, 50, mengalahkan calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, 39, pada pilihan raya kecil DUN Manik Urai.

Ahmad berkata pilihan raya kecil DUN Galas penting kerana mampu memberikan kemenangang kepada BN berdasarkan empat sebab utama, antaranya penglibatan pelbagai komposisi kaum yang melambangkan sentimen rakyat iaitu mahu hanya satu kerajaan pemerintah.

“Sebab kedua Galas penting untuk kita ialah kerana dari situ, kita boleh lihat penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar baru di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata sebab ketiga ialah pemilihan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya Umno/BN bagi pilihan raya kecil berkenaan, yang dianggap tepat kerana anggota Parlimen Gua Musang itu sudah sinonim dengan kawasan tersebut, selain tidak pernah kalah setiap kali bertanding, baik atas tiket BN mahupun Semangat 46.

“Sebab keempat adalah penduduk yang sudah serik hidup di bawah jajahan PAS yang gagal memberikan pembangunan di tempat mereka dan juga bandar Gua Musang, sebaliknya hanya mampu menaburkan janji-janji manis setiap kali berceramah kepada penduduk,” katanya.

Ahmad berkata DUN Galas merupakan kubu asal BN dan beliau yakin kerusi itu boleh dimenangi dalam pilihan raya kecil ini jika semua parti komponennya bekerjasama menggerakkan jentera secepat mungkin.

“Kita akan turun segera ke Galas dan akan buat semua kerja yang berkaitan bukan saja ceramah tapi mengedarkan risalah, sembang petang dengan penduduk, ceramah kecil dan sederhana bagi memastikan hal-hal berbangkit dapat kita selesaikan seperti hal pembangunan di Gua Musang,” katanya.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Galas, Chek Hashim Sulaiman, 46, daripada PAS akibat barah usus.

Khamis, 23 April 2009

Pilihanraya kecil: BN manafaat Peserta PLKN berkempen

Anna Yusof


KUALA LUMPUR : Badan pemantau pilihanraya Malaysian for Free & Fair Election (Mafrel) berkata ia mempunyai bukti bergambar rekrut-rekrut PLKN dan Y2Y berseragam dikerah dalam perarakan Barisan Nasional semasa hari penamaan calon serta berkempen di pilihanraya kecil N29 Batang Ai awal bulan ini.

BN didakwa melanggar undang-undang pilihan raya dengan menyalahgunakan kedua-dua peserta Program tersebut untuk kepentingan mereka semasa kempen pilihanraya kecil tersebut.

Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini berkata, satu laporan lengkap memperincikan penyalahgunaan sumber kerajaan oleh BN dalam tiga pilihan raya kecil lalu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya dalam masa terdekat ini.

“Penyalahgunaan prasarana awam dikesan dalam ketiga-tiga pilihan raya lepas. Ini termasuk pengunaan prasarana awam seperti dewan masyarakat, kenderaan kerajaan dan majlis rasmi kerajaan untuk tujuan kempen,” tegas beliau

Menurutnya lagi mobilisasi pelatih-pelatih dari program khidmat negara semasa hari penamaan calon di Batang Ai adalah amat dikesalkan,

Selain itu, Mafrel turut mendakwa BN menyalahgunakan sejumlah besar wang rakyat untuk tujuan politik dalam pilihanraya Batang Ai.

“Di Batang Ai sahaja, BN menjanjikan projek-projek bernilai lebih dari RM175 juta termasuk pembinaan kompleks polis bernilai RM58.7 juta, pusat jalur lebar bernilai RM2.5 juta, projek turap jalan bernilai RM62 juta dan penambahbaikan dan pemulihan rumah panjang bernilai RM2 juta,” tegas beliau.

Selasa, 7 April 2009

Kronologi Dari 3 kawasan PRK :BN timbulkan provokasi lagi

SUARA KEADILAN


1 Petang- [BUKIT SELAMBAU]40 Peratus pengundi telah keluar pada jam 12 tengah hari tadi.

12.50 Petang- [BATANG AI]60Peratus pengundi telah menjalankan tanggungjawab di Batang Ai.

12.30 Petang- [BUKIT SELAMBAU] Pengundi mengambil kesempatan di waktu rehat makan tengah hari untuk keluar mengundi.

Jalan raya sesak dan dipenuhi kenderaan yang membawa bendera parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Jarang kelihatan kenderaan yang membawa bendera BN.

12 Tengah Hari - [BUKIT SELAMBAU] Penyokong BN mengeluarkan pekataan lucah serta menimbulkan provokasi di Sekolah Menengah Suh Sun, Pekan Bukit Selambau

12 Tengah Hari - [BATANG AI] Pusat mengundi lelamak disini, baru dibuka untuk proses pengundian kepada orang ramai.

Sebelum ini pusat pengundian berkenaan ditutup kerana banjir, akibat hujan lebat malam tadi.

11.50 Pagi - [BATANG AI]Pengiraan undi bagi 14 pusat mengundi; Kesit, Engkari, Delok, Kumpang, Kelampu, Sayat, Jela, Sempang, Bertik, Kancong, Patoh, Bilararap, Sepaya dan Gugu, akan dilakukan di pusat berkenaan dan tidak dibawa keluar.

11.50 Pagi - [BUKIT GANTANG] Dilaporkan polis menembak gas pemedih mata. Pihak kami sedang mendapatkan pengesahan.

11.40 Pagi - [BUKIT SELAMBAU] 2000 penyokong rakyat berhimpun di Taman Ria Jaya untuk memeriahkan keadaan. Cuaca dilaporkan semakin panas dan suasana semakin meriah.

11.40 Pagi - [BUKIT SELAMBAU] Sehingga 10 pagi ini, sumber yang dipercayai mengatakan bahawa Pakatan Rakyat mengatasi BN sebanyak 5 peratus.

11.30 Pagi - [BATANG AI] Laporan dari MPT Dominique Ng mengesahkan bahawa pusat mengundi di Rumah Panjang Sayat, kubu kuat Pakatan Rakyat akan ditutup pada jam 1 petang.

Helikopter dilaporkan akan mengambil peti undi di rumah panjang berkenaan walaupun kenderaan darat boleh mengakses laluan berkenaan.

Menurut Dominique ketika dihubungi tadi, wakil dari Pakatan Rakyat tidak dibenarkan untuk menaiki helikopter berkenaan.

Dominique menegaskan bahawa pihak Pakatan Rakyat tidak mempercayai tindakan tersebut dan akan membuat laporan polis mengenai tindakan SPR.

11.05 Pagi - [BUKIT SELAMBAU] Penyokong BN termasuk Puteri Umno membuat aksi lucah kepada penyokong Pakatan Rakyat di Sekolah Menengah Taman Ria Jaya

11.03 Pagi - [BUKIT GANTANG] Sumber kami di Bukit Gantang melaporkan kenderaan jenis CRV yang dinaiki oleh Calon Pas bagi Kerusi Parlimen Bukit Gantang, Nizar Jamaluddin ditendang oleh Pemuda Umno di Sekolah Kebangsaan Air Putih, pada jam 9.50 pagi tadi.

11.00 Pagi - [BATANG AI]Suasana di Batang Ai agak tenang dan cuaca di sana juga cerah. Ini memudahkan pengundi menaiki bot-bot untuk pergi ke tempat mengundi di kesemua 22 pusat pengundian di Batang Ai

10.50 Pagi - [BUKIT GANTANG] Suasana dan cuaca di kawasan Bukit Gantang sudah mulai panas dan terdapat ketegangan di beberapa tempat.

10.40 Pagi -[BUKIT SELAMBAU] Ramai kaum wanita kelihatan keluar mengundi dan pekerja kilang yang bekerja sif malam memenuhi pusat mengundi di taman Ria dan kawasan sekitar Bukit selambau ini.

Rungutan di terima menyatakan bahawa Umno telah mencabul hak Mic kerana poster dan banner lambang Umno melebihi poster dn bendera Mic. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan penyokong Mic di sini.

10.08 pagi -[BUKIT SELAMBAU] Ketua skuad AMK Kedah Habib Ahmad Muhaiyuddin melaporkan kehadiran ramai anggota polis termasuk FRU Sek. Taman Bandar Baru. Dipercayai taman berkenaan dikesan mempunyai ramai pengundi hantu.

9.50 pagi - [BUKIT SELAMBAU]Polis halau para wartawan yang bertugas di depan pusat undi Sek. Men. Taman Ria Jaya dengan alasan tempat berkenaan adalah kawasan polis

8.35 Pagi -[BUKIT SELAMBAU] Calon KeADILan S Manikumar membuang undi di Sek. Men. Taman Ria. Beliau bersama penyokong berkumpul di Padang Tembusu dan bersedia untuk melawat kesemua pustat menggundi di kawasan Bukit Selambau pagi ini.

8.00 Pagi - [BATANG AI]Calon KeADILan Jawah Gerang membuang undi di Rumah Panjang Sayat, suasana kelihatan tenang.

7.35 Pagi : [BUKIT GANTANG]Calon Pas, Nizar Jamaluddin serta penyokong berhimpun di Markas Pas, Jalan Air Kuning untuk melawat 34 pusat pengundian. Pusat pengundian pertama dikunjungi ialah Sekolah Menengah Aur Air Kuning,

Mafrel lapor politik wang BN berleluasa di Batang Ai

Anna Yusof


LUBOK ANTU : Suruhanjaya Badan Pemerhati Bebas Pilihanraya (Mafrel) melaporkan bahawa beberapa ‘Rumah Tuai’ (ketua rumah panjang) telah dicolek dan dibawa ke Hotel Hilton bertaraf lima bintang di Batang Ai dan diberi layanan istimewa serta wang saku sebanyak RM1,000 seorang.

Separuh dari mereka memilih percutian berbayar ke bandaraya Kuching untuk bersiar-siar dan bersantai di sana.

“Dalam permerhatin kami, ini dilihat seperti merasuah dan politik wang oleh kerajaan Barisan Nasional telah menular Dun N29 Batang Ai ini,” kata seorang pemerhati kepada laman blog The Broken Shield hari ini.

“Seperti yang kami jangkakan, menteri BN tanpa segan silu menghamburkan ‘projek mee segera’ kepada hampir 121 rumah panjang di Batang Ai ini. Apa yang kami dapat katakan ini adalah satu rasuah terang-terangan oleh menteri BN,” jelas pemerhati tersebut.

Menurut pemerhati tersebut, mafrel mempunyai banyak bukti untuk mengukuhkan dakwaan ini, terpulang kepada pihak ibupejabat untuk mengumumkan perlakuan rasuah tersebut,” jelas beliau lagi.

Perkataan ‘Bersih, Telus dan Pilihanraya Bebas’ sudah tidak ujud lagi di Dun N29 Batang Ai ini.

“Kami berani menyatakan bahawa pilihanraya kecil Batang Ai kini sudah dicemari rasuah dan yang piling tidak adil dalam sejarah pilihanraya kecil di Malaysia,” tegas pemerhati Mafrel itu dengan nada kesal.

Sementara itu, hasil dari laporan unit pamantauan kami ini menyatakan bahawa kempen BN juga telah melanggar syarat akta kempen pilihanraya kecil dimana mereka telah memasang bendera BN di tempat-tempat yang di larang seperti di atas jambatan.

“Kami juga menerima banyak laporan bahawa penyokong Bn telah membuang dan manarik turun bendera KeADILan di pintu masuk beberapa rumah panjang,”jelas beliau.

Mafrel juga merakamkan ceramah menteri-menteri BN termasuk Alfred Jabu, Masing, Awang Tengah, Awang Asfia, Joseph Salang, Entulu, Gramong Juna dan lain-lain telah mengugut pengundi dengan ugutan untuk memberi tekanan kepada mereka yang tidak mengundi BN.

Jangan pandang kiri kanan di Batang Ai

Anna Yusof


LUBOK ANTU : Suruhanjaya badan pemerhati bebas pilihanraya (Mafrel) telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa terdapat beberapa pengundi yang telah mati tetapi hidup kembali di Dun N29 Batang Ai.

Kes pertama: Batu nesan Dayang Utat Binti Kamaruden (1898-1981) yang bertulis dengan huruf jawi antara pengundi yang tertua di sini. Beliau memegang nombor mykad 981231-13-0146 yang di lahirkan pada tahun 1898, 111 tahun lalu dan telah disahkan meninggal dunia pada 29 Mei 1981. Allahyarham telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Ulu Sri Aman.

Yang menghairankan ialah nama Dayang Utat masih terdapat dalam senarai pengundi di Dun N29 Batang Ai dan nama beliau sekarang ialah ‘Dayang Bt Abg Kam’ didaftarkan pada 5 Februari 2008 dangan kedua-dua nama berkenaan tercatat dalam daftar pengundi mengunakan nombor mykad yang sama.

Kes kedua: Timah ak Ambal (1900-?) Menurut anak saudara Timah iaitu Tay Chow Ming menyatakan bahawa Timah yang memegang Mykat bernombor 001231-50-5984 dilahirkan pada tahun 1900 dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina bersebelahan kubur suaminya yang terletak dibelakang Bazar Lubok Antu.

Tanah perkuburan yang ditandakan dengan cara tradisional Tajau (buyong) berserta gong untuk menandakan bubur orang Iban di dalam perkarangan tanah perkuburan orang Cina. Mendiang juga memegang nombor Mykad 001231-50-5984.

Kes ketiga: David Aling ak Usit(1942-2007) yang dilahirkan pada 1942 danmeninggal pada tahun 2007 namun hantu beliau masih dapat menggundi kerana nama beliau masih di dalam senarai pengundi di Batang Ai.

“Ini menunjukkan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak langsung mengeluarkan data pengundi yang telah meninggal dunia tetapi sebaliknya mengemaskinikan nombor Mykad 10-digit dalam rekod data pengundi,” jelas koordinator sukarelawan Mafrel di Batang Ai Peter John Jaban.

Walaupun Mafrel telah mengumumkan pada pilihanraya umum tahun 2008 bahawa seorang pengundi yang berumur 108 tahun telah disahkan meninggal dunia namun pihak SPR masih tidak mengambil sebarang inisiatif untuk menyemak danmengeluarkan nama dalam rekod pendaftaran pengundi.

“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini telah menyalahgunakan perkhidmatan e-tadbir untuk menipu data sebagai pengundi hantu, ” jelas Peter lagi

“Peliknya JPN dan SPR menjadi terlalu cekap dalam mengemaskinikan nombor Mykat kepada yang telah meninggal dunia lama sebelum kad berkenaan diperkenalakan kepada orang awam,”jelas Peter.

Ahad, 5 April 2009

BN gentar sokongan kaum dayak di Sarawak

Ditulis oleh Te@M.IT


SIMPANG : "Jika peti undi dibawa dengan bot sekalipun, kami kaum Dayak tetap akan ikut beramai-ramai! Saya katakan kepada mereka, saya bimbang jika peti undi dibawa dengan helikopter," seloroh Badrul Hisham Shahrin yang juga dikenali sebagai Che'gu Bard ketika mengulas berkenaan situasi terkini di Batang Ai.

Menurut ahli MPT Keadilan itu, Barisan Nasional yang diwakili parti PBB berada dalam keadaan tertekan kerana tidak pernah berlawan secara berhadapan seperti di Pilihanraya Kecil Batang Ai. Barisan Nasional terpaksa mengeluarkan arahan bahawa 13 peti undi tidak akan dikira di sekolah tempat pengundian. Sebaliknya 13 peti undi tersebut akan dikira di tempat perjumlahan.

Che'gu Bard juga mengulas berkenaan isu derhaka yang dimainkan oleh Barisan Nasional menjelang Pilihanraya Kecil Bukit Gantang. Beliau membangkitkan isu berkenaan keengganan Tan Sri Ghazali Jawi (bapa Dato' Seri Tajul Rosli) untuk meletak jawatan pada 1974 sehingga menaikkan kemarahan Sultan Perak ketika itu.

Beliau juga secara sinis menyebut berkenaan Ketua Penerangan UMNO iaitu Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang cuba menjadi juara dalam isu ini sehingga melupakan sejarahnya yang pernah melarikan puteri Sultan Selangor suatu ketika dahulu.

Ketika menjawab persoalan berkenaan bagaimana status Raja-raja Melayu apabila Keadilan mengambil alih pentadbiran, Che'gu Bard menjelaskan bahawa sebelum isu Perak berlaku lagi, pihak Keadilan dalam kongres tahunannya pada Oktober lalu telah memutuskan untuk mengembalikan kuasa Raja. Menurutnya, raja-raja bukan sekadar raja kepada orang Melayu, tetapi juga raja untuk seluruh rakyat Malaysia.

DAP persoal poster pemimpin BN dipasang di bangunan kerajaan

BERNAMA


LUBOK ANTU: Seorang pemimpin DAP mempersoalkan pemasangan poster yang tertera wajah pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri di bangunan kerajaan termasuk sekolah menjelang pilihan raya kecil Batang Air, Selasa depan.

Menggantung poster di bangunan kerajaan termasuk sekolah adalah melanggari undang-undang pilihan raya, kata Pengerusi DAP Sarawak, Richard Wong Ho Leng.

"Saya hairan mengapa ia dibenarkan. Hanya poster calon yang bertanding yang dibenarkan untuk dipasang," katanya.

Wong yang juga seorang peguam mahu pihak polis memberi perhatian terhadap perkara tersebut.

Batang Air: Polis pantau kegiatan pertaruhan keputusan pilihan raya

BERNAMA


LUBOK ANTU: Sindiket yang mensasarkan untuk mengaut keuntungan dengan menganjurkan pertaruhan bagi keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air pada 7 April, diberikan amaran.

Polis sedang memantau kegiatan seumpama itu.

Satu pasukan polis khas yang dianggotai pegawai polis negeri dan ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman sudah dibentuk bagi memastikan sindiket seumpama itu tidak menjalankan kegiatan itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohmad Salleh, hari ini mengesahkan polis akan memantau perkara itu.

"Ini tetap dilakukan walaupun polis setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai pembabitan sindiket dalam sebarang bentuk pertaruhan bagi keputusan pilihan raya kecil ini," katanya pada taklimat harian mengenai perkembangan terkini pilihan raya kecil itu, di sini.

Sementara itu, Mohmad berkata, polis menerima dua laporan mengenai gangguan sepanjang tempoh berkempen.

"Ia mengenai poster di simpang jalan di sini dan di sebuah rumah panjang yang dirosakkan," katanya dan menurutnya mereka yang menemui poster yang mengandungi perkataan kesat patut melaporkannya kepada pasukan pemantauan khas yang dianggotai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan wakil Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Isnin, 30 Mac 2009

N29 Batang Ai: Ikut contoh rakyat Selangor, nasihat Khalid

Anna Yusof


LUBUK ANTU : Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim menyeru rakyat Sarawak supaya menyokong KeADILan dan mengikut contoh rakyat Negeri Selangor yang sedang menikmati keselesaan hidup dibawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau berucap di Rumah Panjang Abeng, Lubuk Antu malam tadi yang dihadiri oleh penghuninya seramai 500 orang yang berketurunan Iban.

“Contohilah rakyat Selangor yang menyokong pentadbiran Pakatan Rakyat dengan slogan ‘Merakyatkan ekonomi Selangor’ dimana rakyatnya menikmati segala kemudah bekalan air dan letrik yang jauh lebih murah dengan lain-lain negeri dibawah pentadbiran Barisan Nasional,” kata beliau.

Hari ini, jadual kempen Khalid di Batang Ai akan menemui tujuh lagi Rumah Panjang di sekitar Batang Ai dan akan bertembung dengan calon KeADILan Jawah Gerang di dua atau tiga lokasi serentak.

N29 Batang Ai: Mafrel mahu kenalpasti 26 warga emas berumur lebih 90 tahun masih hidup

Anna Yusof


LUBOK ANTU : Badan Pemerhati bebas Pilihanraya Malaysia (Mafrel) akan mengenalpasti 26 pengundi yang berumur melebihi 90 tahun daripada jumlah 8,006 pengundi berdafter di pilihanraya kecil N29 Batang Ai.

“Apa yang membimbangkan kami adalah samada pengundi berkenaan yang telah meninggal dunia tetapi ‘dihidupkan’ kembali untuk mengundi seperti banyak kali terjadi semasa pilihanraya di Semenanjung Malaysia,” kata ketua penyelia Mafrel di Batang Ai, Peter John.

“Kami akan berusaha mengenalpasti pengundi berkenaan termasuk seorang wanita yang telah berumur 111 tahun yang lahir pada tahun 1898 disenaraikan dibawah kawasan undi Kutai,” kata beliau.

Peter berkata, “mana-mana pengundi yang telah meninggal dunia, nama mereka harus di keluarkan dari senarai mengundi untuk mengelakkan dari kekeliruan datan sebaranpenipuan.”

“Kerja-kerja mengenalpasti telah dijalankan bermula pada 28 Mac, Kami akan melawat kesemua pengundi ini dan juga akan melawat kubur mereka yang telah meninggal dunia untuk memastikan kesahihan status mereka,” jelas John

Peter juga menyatakankebimbangannya terhadap 96 peratus pengundi berdaftar itu tidak menyatakan alamat lengkap dan tidak dapat di kenalpasti.

Beliau berkata,” Ini adalah peratus yang tinggi dalam sejarah Mafrel bagi menangani masalah mengenalpasti pengundi semenjak pemerhatian badan ini dari tahun 2006 di negeri sarawak.”

“Maka, kami amat meragui kesahihan pengundi yang akan datang pada 7 April ini,” tambah beliau

Menurut Peter lagi, Mafrel akan menghantar 70 pemerhati termasuk sukarelawan untuk memantau di kesemua 24 pusat mengundi di kawasan Batang Ai.

“Kami mahu memastikan bahawa proses mengundi akan berjalan lancar tanpa ada sebarang kekecohan atau salahguna ketetapan pengundian dan berharap pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memberi masa yang cukup pada mafrel untuk menjalankan tugas,” jelas Peter.

Isnin, 23 Mac 2009

Batang Ai: Bekas MP Lubok Antu calon PKR

BERNAMA


KUCHING: Bekas Anggota Parlimen Lubok Antu, Jawah Gerang, hari ini dinamakan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat bagi pilihan kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kawasan Batang Ai pada 7 April ini.

Ketika mengumumkannya pada satu sidang akhbar di sini hari ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jawah, 55, dipilih setelah perbincangan diadakan dengan penyokong-penyokong Nicholas Bawin, 51, yang bertanding pada pilihan raya negeri yang lepas dan kalah kepada Datuk Dublin Unting Ingot daripada Barisan Nasional.

Bawin dilantik sebagai pengarah operasi PKR bagi pilihan raya kecil itu.

Batang Ai dan Engkilili adalah dua kerusi negeri dalam kawasan Parlimen Lubok Antu.

"Saya yakin gandingan mantap antara Bawin dan Gerang dapat menawan kerusi Batang Ai," kata Anwar.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Unting pada 24 Februari lepas ekoran serangan angin ahmar.

Penamaan calon ialah pada Ahad ini.

BN telahpun menamakan jurutera Jabatan Pertanian, Malcolm Mussen Lamoh, 49, sebagai calonnya manakala penerbit sebuah majalah Iban, Johnny chuat, 38, turut menyatakan hasratnya untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Ahad, 22 Mac 2009

BN tidak gentar kehadiran Blogger PKR?

MALAYSIA TODAY /Berita Harian


Jentera Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak akan gentar dengan kehadiran beberapa 'blogger' dari Pakatan Rakyat (PR) yang dikatakan akan membantu kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) sepanjang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, 7 April ini.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri James Jemut Masing, berkata biar seramai mana ‘blogger’ PR datang ke Batang Air, jentera BN bersedia menghadapi mereka selain menganggap penduduk di sini, tidak memerlukan orang asing.

Katanya, kehadiran mereka boleh disifatkan sebagai membuang masa kerana pengundi sudah matang untuk menilai siapa sebenarnya yang mampu membawa perubahan dan kemajuan kepada penduduk di negeri ini.

“Saya dimaklumkan akan ada beberapa ‘blogger’ dari PR akan datang ke Batang Air dengan saya ‘mengalu-alukan’ kehadiran mereka, namun tetap merasakan usaha itu adalah sia-sia belaka.

“Pengundi di Batang Air sudah lama bersama BN dan mereka mengetahui kita banyak membawa perubahan kepada kawasan ini sedangkan pembangkang hanya tahu memfitnah saja,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan jentera Wanita dan Pemuda BN di rumah Sandah, Sungai Ara, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita BN Sarawak, Senator Datuk Seri Empiang Jabu; Ketua Pergerakan Pemuda BN Sarawak, Fadillah Yusof dan calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Batang Air, Malcolm Mussen Lamoh.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, berkata pihaknya mendapat laporan mengatakan beberapa ahli dipercayai dari parti pembangkang mengganggu petugas BN terutama wanita yang sedang berkempen dari rumah ke rumah.

“Saya akan meminta setiap petugas wanita yang keluar berkempen diiringi jentera Pemuda BN bagi mengelakkan perkara tidak diingini dari berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai 1,000 ahli pergerakan Wanita dan Pemuda yang akan membantu kempen DUN Batang Air, Masing berkata, jumlah itu adalah mencukupi kerana mereka turut dibantu jentera Pemuda BN Pusat.

Jumaat, 20 Mac 2009

Penerbit Majalah Iban berhasrat tandingi pilihanraya Batang Ai

BERNAMA


SIBU: Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Ai pada 7 April ini bukan sahaja antara calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi bakal disertai calon bebas.

Seorang penerbit majalah budaya, pendidikan dan hiburan Iban, Johnny anak Chuat, 38, yang mempunyai laman portal menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Lulusan bidang Kewartawanan dan Komunikasi daripada Carleton University, Kanada berkata beliau sudah bersedia menghadapi pilihan raya kecil itu dan pengesahan muktamad pencalonannya adalah pada hari penamaan calon 29 Mac.Chuat yang kini bekerja dengan syarikat minyak dan gas merupakan anak tempatan dari Rh. Kaunselor Mujah, Nanga Menyebat, Lemanak, satu daripada kawasan majoriti pengundinya adalah kaum Iban, telah melakukan persiapan dan yakin mendapat sokongan.

"Aku sigi ka ngelaban amat amat. (Saya bersedia untuk menghadapi pertandingan ini). Tiada apa-apa yang perlu saya takuti atau khuatiri. Saya yakin akan memperoleh sekurangkurangnya 90 peratus daripada pengundi Lemanak yang berjumlah kira-kira 3,000 daripada 8,006 pengundi berdaftar di Batang Ai. Mereka semua saudara mara saya juga," katanya kepada Bernama ketika dihubungi. Chuat berkata keyakinannya itu datang daripada hakikat bahawa ini merupakan pertama kali seseorang daripada Lemanak bertanding dalam pilihan raya.Beliau percaya akan meraih sokongan pengundi lain di kawasan itu, terutamanya pengundi atas pagar, yang raguragu dengan BN atau PKR.

"Saya menawarkan diri sebagai pilihan altenatif," kata Chuat dengan yakin, meskipun menyedari saingan hebat yang bakal dihadapi daripada segi logistik calon BN dan persediaan bersungguhsungguh PKR.

"BN mungkin meletakkan calon yang umumnya diterima pengundi apabila menamakan Malcolm Mussem Lamoh manakala PKR dengan calon veteran Nicholas Bawin yang merupakan pengerusi cawangan PKR Lubok Antu atau bekas anggota parlimen empat penggal, Jawah Gerang, tetapi saya mempunyai strategi tersendiri," katanya.

Chuat, yang menegaskan beliau tidak ditaja sesiapa, berkata sejak 10 tahun lepas beliau mengadakan ceramah motivasi kepada pelajar dan memberikan bantuan kewangan kepada pelajar daripada keluarga miskin dan percaya mereka pasti mengenang jasa serta membalas budi.

Isnin, 16 Mac 2009

Peluang PRS ukur sokongan kaum Dayak di Batang Ai

Joseph Tawie


Analisis Pilihanraya kecil Batang Ai pada 7 April depan memberi peluang kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) - yang cuba menonjolkan imejnya sebagai sebuah parti orang Dayak - untuk mengukur sokongan masyarakat tersebut terhadapnya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai bukan sahaja merupakan kawasan majoriti kaum Iban, tetapi juga juga pernah menjadi tapak Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang telah berkubur.

PRS didaftar pada 21 Oktober 2004 oleh pemimpin yang joseph salang anak gandum 01turut terbabit dalam pembubaran PBDS apabila mereka mencabar Daniel Tajem dan Joseph Salang dan kumpulan mereka untuk menguasai parti itu dalam mesyuarat perwakilan pada 2003.

Perebutan kuasa itu telah mengakibatkan parti itu mempunyai dua presiden, dua kumpulan majlis tertinggi dan dua ibupejabat.

Dan oleh itu krisis tersebut tidak dapat diselesaikan, maka Pendaftaran Pertubuhan telah membubarkan parti tersebut - dan ia berlaku pada hari PRS ditubuhkan.

Di peringkat awalnya, PRS berdepan dengan masalah untuk menarik bekas anggota PBDS - yang berjumlah hampir 200,000 - menyertai parti tersebut.

Mereka menyalahkan pemimpin PRS seperti James Masing, Sng Chee Hua, Sidi Munan, Dublin Unting Ingkot (bekas Adun Barang Ai), Joseph Entulu dan Wilfred Nissom sebagai bertanggungjawab terhadap pembubaran PBDS.

Ketika kaum Dayak menolak PRS, kaum bukan Dayak pula beramai-ramai menyertainya, dan jumlah mereka kini mencecah separuh daripada ahli parti tersebut.

Ujian pertama bagi PRS ialah pilihanraya negeri 2006 di mana ia bertanding di sembilan kerusi majoriti Dayak.

PRS menang lapan daripadanya dengan majoriti selesa, tetapi kalah kerusi Ngemah kepada calon bebas. Namun begitu, kekuatan PRS dianggap belum teruji sepenuhnya.

Selepas pilihanraya tersebut, PRS dilanda krisis kepimpinan, sama seperti yang berlaku kepada PBDS dahulu.

james jemut masingKali ini krisis tersebut adalah antara Masing dengan timbalannya, Sng Chee Hua selepas Masing memecat pemegang jawatan yang merupakan penyokong Sng.

Mereka termasuklah setiausaha agung, Sidi Munan; bendahari agung, Clement Eddy; timbalan ketua penerangan, Earnest Chua dan timbalan setiausaha agung, Larry Sng.

BN bakal hadapi pertarungan sengit di Batang Ai?

BERNAMA


KUCHING:Kira-kira seminggu lagi hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, Barisan Nasional (BN) Sarawak dijangka akan menghadapi tentangan besarbesaran daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengekalkan kerusi majoriti kaum Iban itu.

Selain perang poster dan bendera, faktor yang akan menentukan kemenangan BN termasuk pemilihan calon berikutan pengundi kemungkinan lebih cenderung memihak kepada calon Iban dari parti kaum Dayak, dengan mengambil kira Iban merupakan 95 peratus daripada 8,006 pemilih berdaftar.

Berdasarkan trend pada pilihan raya negeri sebelum ini, majoriti pengundi di kawasan luar bandar seluas 1,341 km persegi yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan, Indonesia ini lebih dipengaruhi "hubungan kekeluargaan" daripada simbol parti dalam mengundi.

Semalam, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRs) Datuk Seri Dr James Masing berkata BN negeri bersetuju mencalonkan Malcolm Mussen Lamoh, 49, jurutera di Jabatan Pertanian negeri, untuk bertanding dalam pilihan raya itu dan sedang menunggu kelulusan pucuk pimpinan BN pusat.

Kerusi Batang Ai kosong berikutan kematian wakil rakyatnya selama empat penggal Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Feb lepas akibat serangan angin ahmar. Beliau ialah naib presiden PRS dan Menteri Muda Sukan dan Pertanian negeri.

Sungguhpun Masing telah dilantik pengarah operasi BN bagi pilihan raya kecil 7 April itu, seorang pemerhati politik berpendapat jentera BN perlu lebih fokus terhadap strategi kempennya untuk menangkis "serangan" pembangkang terutamanya PKR.

Walaupun masih belum mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil itu, PKR, di bawah pimpinan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua badan perhubungan PKR Sarawak, telah cuba meraih sokongan pengundi dengan memainkan isu hak tanah adat, hak kaum Dayak dan pembangunan sosioekonomi.

Bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa BN tidak akan lagi meneruskan amalan mengumumkan projek "mee segera" pada pilihan raya, seorang pemerhati politik berkata adalah lebih bermanfaat untuk menganjurkan program kemasyarakatan atau sesi bertemu dengan pengundi secara bersemuka.

Beliau mencadangkan lebih banyak program 'berimpak tinggi' bagi menyelesaikan masalah berkaitan pembangunan dan juga kebajikan penduduk, sepatutnya diadakan di kawasan itu, lebih-lebih lagi kira-kira 107 lokaliti, yang mempunyai 238 rumah panjang dan 15 kampung, seperti Engkari, terletak jauh di pedalaman.

Tidak disangsikan, rancangan kerajaan negeri, yang termasuk memberikan tumpuan kepada pembangunan jalan raya tar sepanjang 10km ke kawasan penempatan Batang Ai dan dua lagi jalan raya dengan kos RM42 juta, amat dialualukan oleh penduduk kerana telah lama tertangguh, katanya.

Pemerhati politik itu berkata juga penting BN meletakkan calon yang diterima penduduk setempat dan perang poster serta pengedaran risalah untuk menjelaskan isu dan dasar kerajaan turut memainkan peranan dalam mencerminkan kedudukan BN negeri, lebih-lebih lagi ia akan menjadi ujian terhadap perpaduan gabungan parti pemerintah itu.

Dalam pilihan raya negeri Mei 2006, apabila Dublin menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Nasional Sarawak (SNAP) dengan majoriti tipis 806 undi, dikatakan kemerosotan majoriti itu akibat undi protes oleh penyokong BN sendiri, yang didakwa tidak puas hati dengan cara jentera BN diuruskan.

Disebalik pelbagai spekulasi mengenai Bawin, presiden penaja Kongres Dayak Malaysia (MDC) yang masih belum didaftarkan, yang merupakan tokoh berpengaruh di Batang Ai, satu lagi faktor yang dipercayai menjadi puncanya ialah akibat serangan peribadi yang dilemparkan terhadap penyandang, serta krisis dalaman kepimpinan PRS.

Pada kali ini, Bawin, yang kini ialah pengerusi PKR Batang Ai, dan bekas anggota Parlimen Lubok Antu selama lima penggal Jawah Gerang, yang baru-baru ini menyertai PKR, menjadi tumpuan kerana seorang daripada mereka dispekulasi akan dipilih untuk menentang BN.

Sabtu, 14 Mac 2009

Batang Ai: BN Sarawak pilih Malcolm Mussen

MSTAR ONLINE


KUCHING: Barisan Nasional Sarawak memilih Malcolm Mussen anak Lamoh dari Parti Rakyat Sarawak sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batang Ai pada 7 April ini.

Bagaimanapun, calon yang dipilih itu perlu mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Barisan Nasional, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mesyuarat parti-parti komponen BN Sarawak hari ini.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari akibat serangan angin ahmar dan koma selama sembilan bulan.

Unting merupakan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan wakil rakyat Batang Ai sejak 1991.

Beliau merupakan Menteri Muda Sukan dan Pertanian Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 29 Mac dan hari pengundian pada 7 April, jika ada pertandingan.

Minggu lepas, Presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing berkata parti itu hanya menyerahkan satu nama sebagai calon kepada pucuk kepimpinan BN.

Rabu, 11 Mac 2009

Calon BN, DUN Batang Ai diketahui Sabtu ini

BERNAMA


KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Ai akan diketahui Sabtu ini.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Pengerusi BN negeri, berkata nama calon berkenaan akan diumumkan selepas mesyuarat parti-parti komponen BN pada hari itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hospital Pakar Kuching (KSH) di sini hari ini.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Februari akibat serangan angin ahmar dan koma selama sembilan bulan.

Unting merupakan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan wakil rakyat Batang Ai sejak 1991.

Beliau merupakan Menteri Muda Sukan dan Pertanian Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 29 Mac dan hari pengundian pada 7 April, jika ada pertandingan.

Minggu lepas, Presiden PRS Datuk Seri Dr James Jemut Masing berkata parti itu hanya menyerahkan satu nama sebagai calon kepada pucuk kepimpinan BN.

Taib, ketika ditanya mengenai pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM60 bilion yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam, berkata kesan pakej rangsangan itu dirasai pada awal tahun depan.

"Jangan terlalu mengharap pada tahun ini," kata beliau, sambil menambah kata bahawa Sarawak berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menyediakan peruntukan bagi pembangunan di Sarawak dan Sabah.

Najib mengumumkan sejumlah RM230 juta diperuntukan bagi menambah baik infrastruktur luar bandar di Sarawak dan Sabah, terutamanya bagi meningkatkan bekalan elektrik dan air.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.95 bilion bagi membina dan meningkatkan kemudahan 752 sekolah luar bandar di Sarawak dan Sabah, dengan RM300 juta diperuntukan bagi meningkatkan kemudahan sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah-sekolah mubaligh dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Khamis, 5 Mac 2009

PRS muktamad calon Batang Ai minggu ini

BERNAMA


KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) dijangka memuktamadkan calon bagi pilihan raya kecil negeri Batang Ai pada minggu ini, kata Presidennya Datuk Seri Dr James Jemut Masing hari ini.

Beliau berkata, senarai bakal calon telah dikenalpasti dan dimuktamadkan sebelum keputusan dibuat, dan akan dikemukakan kepada pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Menteri Muda Pertanian dan Sukan Datuk Dublin Unting Ingkot, 55 akibat koma sejak 22 Mei tahun lepas, di Pusat Pakar Perubatan Normah pada 24 Feb lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil negeri itu ialah pada 29 Mac dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 7 April.

Mengenai keputusan SPR mengadakan pilihan raya negeri itu serentak dengan dua pilihan raya kecil di negeri lain, Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak, Dr Masing berkata ia akan mewujukan satu persamaan bagi semua parti politik yang ingin bertanding. "Ia menjadi hal ehwal tempatan kerana parti yang ibu pejabat di Semenanjung akan sibuk dengan pilihan raya negeri di sana, " kata beliau.

Timbalan Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Datuk Peter Nyarok Entrie berkata peluang BN memenangi Batang Ai adalah baik dan cerah walaupun ada dakwaan bahawa pembangkang mula mencari jalan untuk mendapatkan kerusi di kawasan luar bandar Sarawak.

"BN boleh menang kerusi Batang Ai tetapi kita perlu bekerja keras dan bagi SPDP kita berikrar untuk memberikan sokongan penuh dan berusaha dengan parti komponen BN lain, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) bagi memastikan PRS menang dengan majoriti banyak," kata Nyarok, yang juga Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Petani dan Koperasi).

Setiausaha Agung PBB yang juga Setiausaha Agung BN, Dr Stephen Rundi Itom berkata, semua parti komponen BN bersedia menghadapi pilihan raya kecil itu dan tidak melihat penamaan calon dan pengundian yang dibuat serentak dengan dua pilihan raya lain menjadi masalah besar kepada jentera pilihan raya BN.

Setiausaha sulit Dublin sejak Oktober 1986, Nelson Naga Alam dilihat sebagai orang barisan hadapan untuk calon PRS sementara Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Nicholas Bawin Anggat dan bekas Anggota Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang dikatakan adalah antara calon pilihan.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, Dublin yang juga Naib Presiden PRS menewaskan Bawin yang pada ketika itu bertanding atas tiket Parti Nasional Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi.

Isnin, 2 Mac 2009

Batang Ai: PRS mesyuarat Khamis ini

BERNAMA


BAU: Parti Rakyat Sarawak (PRs) dijangka bermesyuarat Khamis ini untuk membincangkan calon untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai.

Setiusaha Agungnya, Wilfred Nissom berkata, setakat ini PRS belum lagi membuat sebarang kata putus berhubung calonnya, namun telah mengenal pasti seorang calon yang sesuai untuk kerusi tersebut.

"Seorang anak tempatan, Presiden (Datuk Sri James Jemut Masing) akan bagi tahu, saya tidak boleh kata sekarang, tunggu 5 Mac kita mesyuarat," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah pelantikan anggota Majlis Daerah Bau di sini hari ini.

Beliau berkata, calon yang bakal bertanding merupakan seorang yang dikenali bukan sahaja di peringkat atasan, malah juga di peringkat akar umbi dan penduduk tempatan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut sama ada calon terbabit adalah orang baru dalam parti mahupun daripada kalangan anggora PRS yang ada.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian Menteri Muda Sukan Sarawak Datuk Dublin Unting akibat serangan angin ahmar pada 24 Februari lalu.

Unting koma akibat serangan angin ahmar sejak 22 Mei lalu.

Pada pilihan raya negeri Mei 2006, mendiang menang di kawasan yang majoritinya kaum Iban setelah menewaskan Nicholas Bawin Anggat daripada Parti Nasional Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat di Kuching Rabu ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi Batang Ai.

Ahad, 1 Mac 2009

Anwar: Pakatan mahukan Batang Ai tawan Sarawak

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


SHAH ALAM: Dalam amanat kepada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dilihat sebaga penyuntik semangat menjelang setahun selepas pilihan raya umum ke-12, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menggunakan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai untuk menawan Sarawak.

Dalam masa terdekat ini, Penasihat PKR itu berkata, parti tersebut perlu memfokus Sarawak yang akan menyaksikan pilihan raya negeri.

Justeru katanya, strategi menawan negeri itu akan dimulakan dengar 'menggempur' Batang Ai pada pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Saya yakin, kita mampu lakukannya kerana pada pilihan raya umum 8 Mac lalu... kita berjaya menawan Selangor, negeri yang begitu dihargai dan diserang Umno dan dalam masa setahun, kita telah buat pelbagai program yang lebih besar daripada Umno," katanya ketika menyampaikan amanat dalam majlis Amanat Harapan Rakyat di sini, hari ini.

Majlis tersebut dihadiri lebih 200 pemimpin PKR dari seluruh negara.

Anwar berkata, ini bukan masanya PKR serta dua lagi parti komponen Pakatan iaitu DAP dan PAS untuk berbulan madu.

Sebaliknya, beliau yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata, mereka harus lebih fokus untuk mengukuhkan parti dan merealisasikan pendekatan inklusif dalam PKR bagi memastikan parti itu terdiri daripada semua kaum.

"Kita bulatkan tekad kita untuk berbakti kepada rakyat bersama PAS dan DAP.

"Kita punya iltizam yang teguh untuk pastikan perubahan dan menunaikan janji untuk membawa harapan baru kepada rakyat," katanya.

Anwar berkata, asakan daripada BN dan Umno perlu dihadapi PKR dengan semangat dan keyakinan walaupun parti itu bukanlah sebuah parti yang kukuh dari segi kewangan.

"Kita telah buktikan sebelum ini di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Kita tidak mempunyai dana yang banyak seperti Umno dengan jenteranya yang begitu besar.

"Bagaimanapun, kita tetap memperoleh kemenangan dan saya percaya, itu akan meneruskan semangat kita untuk berjaya di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai," katanya.

Katanya, Umno memainkan isu kaum, agama dan institusi beraja dalam propaganda politiknya yang sememangnya akan menyentuh sensitiviti kaum terutamanya Melayu.

"Umno menggunakan 3R iaitu race, religion dan royalty (kaum, agama dan istana) dan ini mudah mencungkil perasaan rakyat dan meresap ke dalam psikologi terutamanya kaum Melayu.

"Kalau rakyat tidak mendapat maklumat yang tepat, mereka akan terperangkap dalam mainan politik ini dan pemikiran menjadi sempit dan kembali mundur," katanya.