BUKU teks murid yang rosak dan hilang akibat banjir baru-baru ini tidak perlu diganti, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin.
Menurut beliau, bukan sahaja tidak perlu membayar ganti rugi, malah murid-murid terlibat akan menerima buku teks ganti dengan segera.
Katanya, ini supaya mereka boleh meneruskan pembelajaran dengan teratur sebaik sesi persekolahan dibuka pada minggu depan.
“Kita akan pastikan usaha menggantikan buku teks ini dapat dilakukan dengan segera.
“Kita doakan semoga anak-anak kita yang terjejas banjir dapat mengharungi tempoh sukar ini dan dapat kembali ke sekolah apabila dibuka kelak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Tambah Radzi, ramai murid terlibat dalam banjir besar baru-baru ini yang mana antara persoalan dibangkitkan ialah berhubung kerosakan buku teks.
Katanya, berdasarkan rekod yang ada, sebanyak 263,662 naskhah buku teks rosak akibat banjir melibatkan 14,422 murid di seluruh negara.
“Berdasarkan rekod ini, Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai stok mencukupi bagi menggantikan buku teks yang rosak,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan