Rabu, 5 Januari 2022

Terpaksa lepaskan tembakan ke udara, lori langgar kenderaan polis

LORI yang melanggar kenderaan polis sebelum dua suspek ditahan. FOTO Ihsan Polis
LORI yang melanggar kenderaan polis sebelum dua suspek ditahan. FOTO Ihsan Polis

Alor Setar: Beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan ke udara oleh polis untuk keselamatan akibat ancaman dua lelaki yang menaiki sebuah lori bertindak melanggar kenderaan polis.

Dalam kejadian 5.45 pagi hari ini, dua suspek itu dipercayai bertindak demikian sebaik tiba di kawasan Kampung Belat, Kubur Panjang, Pendang selepas menyedari mereka diekori polis.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lori itu dipercayai diekori polis dari Gerik, Perak menghala ke Baling dan ke Sik sebelum menghala ke Pendang.

Beliau berkata, tindakan mencurigakan lori berkenaan menyebabkan anggotanya terus mengekori kenderaan itu sehingga ke Pendang.

"Bagaimanapun kedua-dua suspek berusia 25 dan 28 tahun itu akhirnya berjaya ditahan di daerah berkenaan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, kedua-duanya positif dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan mendapati ia bersangkut dengan kes kehilangan kenderaan di Kepala Batas, Pulau Pinang mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (Akta 574).

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap lori dan kedua-dua suspek itu menemui 0.34 gram ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah syabu.

"Siasatan lanjut juga mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memiliki dadah.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun manakala bagi memiliki dadah boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara atau denda sehingga RM5,000," katanya.

Tiada ulasan: