Sabtu, 15 Januari 2022

Tekad bantu mangsa banjir, doktor ubah suai lot di klinik jadi pusat urus bencana

Nora Mahpar
Selain menubuhkan pusat pengurusan bencana di kliniknya, Dr Sathia turut 
menjalankan misi bantuan banjir baru-baru ini bersama pasukannya di beberapa
lokasi banjir di seluruh negara termasuk Sri Muda, Shah Alam; Hulu Langat; 
Kuala Selangor, Mentakab, Karak dan terbaharu, Melaka.

RAWANG: Ketika mula beroperasi 13 tahun lalu, klinik SP Care di Rawang ini tidak banyak beza dengan klinik lain yang menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

Namun, siapa sangka, bencana banjir yang melanda Lembah Klang secara mengejut pada 18 Dis lalu menjadi titik tolak untuk pemiliknya, Dr Sathia Prakash Nadarajan mengubah suai salah sebuah lot di klinik itu menjadi pusat pengurusan bencana bagi mangsa banjir, jika tragedi itu berulang.

Dr Sathia, 43, berkata idea itu timbul selepas kecewa melihat bagaimana kelewatan bantuan mangsa banjir di Sri Muda, Shah Alam oleh pihak berkuasa ketika mereka sampai di lokasi kejadian sehari selepas banjir besar “menelan” penempatan itu.

Ramai yang kecewa dan sedih sebab bantuan sampai lambat (di Sri Muda)… nak salahkan siapa pun kita tak tahu, kita cuma boleh bantu mana yang terdaya.
Dr Sathia Prakash Nadarajan.

“Sampai di sana pada hari kedua, rancangan awal kita nak bantu dari segi perubatan tetapi bila sampai sana, kita buat macam-macam sebab rupanya ramai yang masih terperangkap dalam rumah…masa tu baru kita sewa sampan, beli kayak dan jaket keselamatan untuk bantu mangsa,” kata anak jati Rawang itu kepada FMT.

Mengulas mengenai pusat mini urus bencana itu, Sathia berkata ia dilengkapi dengan empat kayak, bot, 30 jaket keselamatan, “water jet” dan beberapa peralatan misi menyelamat sebagai persediaan membantu mangsa bencana.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kos sebenar untuk membeli segala kelengkapan yang ada. “Saya hanya mahu berikan kembali apa yang pesakit saya sudah bantu saya sehingga ke tahap ini,” kata doktor lulusan Rusia itu yang turut mempunyai empat ambulans dan beberapa buah kenderaan 4×4.

Dr Sathia menaiki bot ketika misi bantuan banjir di Pahang 
baru-baru ini.

Mengakui tindakannya itu disifatkan sebagai “kerja gila” oleh segelintir pihak kerana sanggup keluar daripada zon selesa sebagai seorang doktor, beliau bagaimanapun enggan melihat ia sebagai penghalang menabur bakti kepada insan yang benar-benar memerlukan.

“Ada orang kata, kenapa saya nak buat semua ni, habis kerja pukul 5 petang sambung lagi pergi bantu mangsa banjir sampai tengah malam, dan esok kembali semula bekerja di klinik.

“Ini kerana saya ada pasukan yang hebat, yang sokong dan bantu saya bila saya perlukan mereka. Mereka (kakitangan) sanggup sertai saya dalam misi bantuan ini tanpa meminta sebarang balasan, saya kuat kerana mereka,” katanya sambil menambah, seramai 15 kakitangannya menyertai setiap misi bantuan yang dijalankan.

Kakitangan klinik SP Care Rawang membuat pemeriksaan 
ke atas kelengkapan perubatan dan barangan keperluan untuk 
tujuan bantuan banjir.

SP Care Group kini memiliki 13 cawangan di sekitar Selangor dan turut mempunyai cawangan di India dan Rusia. Beliau juga memiliki 157 kakitangan penuh dedikasi termasuk 30 doktor profesional dalam bidang masing-masing.

Doktor yang fasih pelbagai bahasa termasuk bahasa Rusia itu sebenarnya bukan individu asing dalam misi kemanusiaan antarabangsa. Beliau banyak mengikuti misi kemanusiaan secara sukarela ke negara bergolak termasuk Gaza, bencana alam di Myanmar dan gempa bumi di Nepal sejak beberapa tahun lalu.

Menceritakan kembali pengalaman ketika menjalankan misi banjir baru-baru ini, beliau berkata pasukannya bergilir ke beberapa lokasi banjir di seluruh negara termasuk Sri Muda, Shah Alam; Hulu Langat; Kuala Selangor, Mentakab, Karak dan terbaharu, Melaka.

Berkongsi kisah sepanjang misi banjir itu, beliau berkata bencana itu membuka matanya bahawa masih terdapat ramai rakyat Malaysia yang benar-benar hidup dalam kemiskinan.

Kira-kira 10 peti pertolongan cemas disediakan yang mengandungi 
pelbagai jenis ubat-ubatan kerap diminta oleh mangsa banjir 
antaranya cirit-birit, muntah, angin, dan paracetamol.

Beliau juga tidak mampu melupakan detik cemas membantu dua remaja yang terperangkap di ruang atas rumah mereka di Sri Muda pada 19 Dis lalu, ketika banjir berada pada paras bumbung rumah.

Sathia berkata banjir besar itu seharusnya membuka mata pihak berkuasa tempatan untuk merancang lebih teliti dengan membahagikan penempatan itu kepada beberapa zon sebagai tahap berjaga-jaga jika berlaku sekali lagi banjir besar.

“Kita perlu ada rancangan, saya tak nampak orang (pihak) yang ‘follow up’ kes banjir di sana setiap hari. Sepatutnya penempatan itu dibahagikan kepada zon merah, zon kuning dan zon hijau supaya senang untuk bantuan sampai,” katanya dalam nada kecewa.

Tiada ulasan: