Semua kes penjualan sijil vaksinasi Covid-19 yang disiasat polis sekarang ini melibatkan klinik swasta yang diberi kebenaran melaksanakan program vaksinasi berbayar.
Hasil siasatan dan semakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan polis mendapati setakat ini semua kes yang dikesan adalah melibatkan pelaksanaan vaksinasi berbayar yang dijalankan oleh pihak swasta, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, sebagai prosedur yang ditetapkan, semua proses pemberian vaksinasi yang dijalankan perlu dilaporkan kepada KKM melalui sistem MyVAS bagi tujuan rekod dan pengeluaran sijil vaksinasi.
“Bagaimanapun, dalam insiden ini apa yang berlaku adalah pengamal perubatan swasta yang terlibat telah memberikan laporan pemberian vaksinasi palsu kepada KKM.
“Buat masa ini siasatan masih dijalankan oleh pihak polis dan KKM akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Mengenai umrah, Khairy berkata kerajaan komited untuk memuktamadkan proses penilaian risiko dan prosedur operasi standard perjalanan ibadah itu menjelang pertengahan Februari ini.
“KKM amat berharap agar semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah depat terus dilaksanakan dengan selamat,” katanya.
Sementara itu beliau juga memaklumkan sejak awal Januari lalu hingga semalam sebanyak 52 kluster pendidikan dikesan melibatkan 30 sekolah menengah, dengan 27 daripadanya membabitkan sekolah berasrama.
“Perkumpulan ramai telah meningkatkan risiko penularan jangkitan menyebabkan jumlah kluster di sekolah pada minggu pertama persekolahan sebanyak 15 kluster.
“Pada minggu kedua persekolahan, bilangan kluster pendidikan meningkat sekali ganda kepada 33 kluster. Semua negeri kecuali Perlis, Terengganu, Sarawak dan Labuan melaporkan kluster pendidikan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan