Sabtu, 15 Januari 2022

‘Saya mengaku tidak vaksin, bawa orang tak vaksin ke Saudi’ – Penceramah bebas

SEBAIK sahaja Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan penangguhan ibadah umrah ekoran penularan varian Omicron, ramai yang mempersoalkan langkah diambil Ahli Parlimen Rembau itu.

Malah, ada yang mempersoalkan mengapa hanya ibadah umrah sahaja menerima ‘akibat’ sedangkan destinasi lain termasuk United Kingdom (UK) tidak disekat.

Hakikatnya, jumlah jemaah pulang dari Arab Saudi dan dijangkiti Omicron adalah tinggi.

Lebih membimbangkan, Khairy turut mendedahkan bahawa ada jemaah umrah yang tidak menerima vaksin telah dibenarkan pergi dan positif varian Omicron.

Fakta mengejutkan itu sekali gus menimbulkan rasa kurang senang masyarakat umum bagaimana ada individu ‘terlepas’ untuk menunaikan umrah walau tidak divaksin.

Namun begitu, seorang ustaz yang juga penceramah bebas secara terbuka mengakui ada membawa jemaah umrah tidak divaksin ke Arab Saudi.

Pengakuan itu dikongsikan dalam laman Instagram miliknya, Sabtu lalu.

Tangkap layar hantaran seorang penceramah bebas 
di Instagram yang mengakui tidak divaksin dan membawa 
jemaah tidak divaksin menunaikan umrah,

Beliau malah turut mengakui bahawa dirinya juga tidak divaksin.

“Saya mengaku saya tidak vaksin dan bawa orang tak vaksin ke (Arab) Saudi. Vaksin MM. Sebab vaksin ni dah pupus.

“Ramai juga jemaah tak ambil pun vaksin ni. Seperti segala jenis vaksin lain akan pupuas dan tamat tempoh.

“Vaksin juga adalah duit dan mata pencarian untuk mereka bergelar ‘pakar’,” katanya secara terbuka dalam hantaran berkenaan.

Lebih menyedihkan, ramai dalam kalangan pengikutnya turut bersetuju dengan apa yang dikongsikan.

Carian UtusanTV ke akaun Instagram penceramah bebas terbabit juga mendapati beliau banyak berkongsi hantaran supaya tidak menerima vaksin.

Dalam satu hantaran berasingan, penceramah terbabit juga mengatakan tidak berdosa menunaikan umrah sekiranya tidak mengambil vaksin.

“Tidak berdosa pergi umrah tanpa vaksin. Ia bukan wajib umrah atau rukunnya.

“Jangan ‘sembah’ vaksin, usah pertuhankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” jelasnya.

Tiada ulasan: