Isnin, 17 Januari 2022

Projek tambak laut di Langkawi ancam alam sekitar

Oleh NUR AMALINA AZMAN

PENGERUSI Persatuan Nelayan Pangkalan Sungai Menghulu, Abdullah Man menunjukkan kawasan laut yang didakwa akan dilaksanakan projek penambakan laut di Sungai Menghulu, Langkawi, Kedah.

LANGKAWI: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membantah keputusan kerajaan melaksanakan projek penambakan laut di pesisir pantai Kelibang hingga ke Sungai Menghulu, Kuah di sini kerana didakwa bakal mengancam alam sekitar.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, projek yang bakal dilaksanakan itu juga akan menjejaskan pendapatan nelayan dengan kemusnahan hasil laut di kawasan tersebut.

“Sekarang nelayan-nelayan di sini memperoleh pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan hasil tangkapan ikan dan udang manakala pemungut siput pula memperoleh pendapatan antara RM40 hingga RM70 sehari.

“Dalam tinjauan yang dibuat, CAP mendapati nelayan-nelayan di pantai Kuah, Kelibang dan Sungai Menghulu yang mencari rezeki di kawasan berkenaan membantah keputusan itu kerana boleh mengancam alam sekitar dan menjejaskan mata pencarian mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, CAP berpendapat kerajaan negeri sepatutnya mendedahkan rancangan awal, hasil kajian dan perkembangan semasa mengenai projek itu kepada umum sebelum membuat keputusan mengenainya.

Tambahnya, CAP turut bersimpati dengan nelayan-nelayan di kawasan berkenaan dan menggesa kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan-jabatan berkenaan dan agensi berkaitan membuat kajian secara terperinci mengenai masalah itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pengerusi Komuniti Nelayan Sungai Kelibang, Zulkifli Che Hasin berkata, surat bantahan bersama tandatangan nelayan-nelayan yang terlibat telah dihantar kepada Pejabat Daerah Langkawi di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya berharap surat bantahan tersebut mendapat perhatian yang serius daripada kerajaan kerana sumber pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil laut di kawasan tersebut.

Seorang nelayan, Zulkifli Shamsudin, 50, pula berkata, beliau terkejut dengan notis pengambilan tanah di kawasan ini dan berasa kesal kerana keputusan itu dibuat tanpa mengambil kira kesan buruk yang terpaksa dihadapi nelayan di situ.

Tiada ulasan: