Ahad, 9 Januari 2022

Pintu gerbang hanyut 1km akibat banjir

TAMAN Eko Rimba Jeram Toi mengalami keroskan teruk selepas dilanda banjir dan tanah runtuh, baru-baru ini. FOTO Mohd Amin Jalil
TAMAN Eko Rimba Jeram Toi mengalami keroskan teruk selepas dilanda banjir dan tanah runtuh, baru-baru ini. FOTO Mohd Amin Jalil

Jelebu: Selepas 21 hari `ghaib' dihanyutkan banjir, pintu gerbang kayu Taman Eko Rimba Jeram Toi di sini, akhirnya berjaya ditemui semula semalam, dalam jarak lebih 1 kilometer dari lokasi asal.

Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan Saleh Awaluddin berkata, mercu tanda itu ditemui kakitangan Jabatan Perhutanan yang berusaha menjejaki kayu seberat beratus kilogram itu.

Katanya, pintu gerbang itu menjadi mercu tanda Jeram Toi kerana mempunyai nilai seni pada ukiran pada kayu yang dihasilkan sendiri oleh kakitangan perhutanan.

"Syukur pintu gerbang kayu itu akhirnya berjaya ditemui semula dan masih dalam keadaan baik.

"Kami akan baiki semula mercu tanda yang dibuat daripada kayu cengal itu. Ia tidak akan dipasang semua di pintu masuk jeram itu berikutan bimbang bencana sama berulang," katanya.

Saleh berkata kayu dan papan pintu gerbang itu ditemui oleh Pengawas Hutan, Hasrin Ishak kira - kira satu kilometer dari lokasi asal.

Sementara itu Saleh berkata kerja pembersihan sampah sarap di jeram berkenaan diharap berjalan lancar susulan cuaca yang semakin baik.

Media sebelum itu melaporkan jeram toi akan dibuka semula selepas ia benar - benar selamat untuk dikunjungi oleh orang ramai.

Jeram berkenaan mengalami kerosakan 100 peratus dan kerja pembaikan dijangka akan mengambil masa yang lama.

Tiada ulasan: