Selasa, 11 Januari 2022

Perketatkan sistem, jangan sampai sijil vaksin palsu terus berleluasa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

'Terus amalkan SOP, kita pun dah ragu-ragu orang sebelah kita vaksin ke tidak'

BANGI – Perbuatan individu tidak bertanggungjawab menjual atau menggunakan sijil vaksinasi palsu ketika negara masih berdepan pandemik COVID-19 hanya mencetuskan isu ‘ketidakpercayaan’ terhadap kesahihan sijil vaksinasi Malaysia. 

Menyifatkan tindakan itu sebagai keji dan menjijikkan, Pakar Kesihatan Awam dan juga Pengerusi Volunteers for Community Engagement and Empowerment for COVID-19 (VCEE19), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar yakin perbuatan sedemikian menambah kesan buruk kepada ramai pihak.

“Very despicable. Sangat menjijikkan, baik daripada pihak pemberi mahupun penerima sebab ia boleh membahayakan diri sendiri dan turut membahayakan kesihatan dan nyawa orang lain.

“Mahal pula, sepatutnya percuma tetapi sangup bayar mahal untuk dapat benda palsu

“Apa sebabnya? Adakah sebab antivaksin? Sebab kalau tak ambil vaksin, tak boleh pergi ke mana-mana, ke pasar raya, pusat beli-belah. 

“Jadi mereka pilih yang palsu. Pentingkan diri sendiri. Menipu diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bukan itu sahaja, Dr Zainal Ariffin berkata, perbuatan itu juga akan mengundang masalah kepercayaan kepada sistem dan kesahihan vaksinasi di negara ini.

“Kesan dia sangat besar. Orang luar negara pun boleh jadi tidak percaya pada sijil vaksinasi kita lagi jika keadaan ini berleluasa.

“Jadi kena tengok balik sistem. Perketat dan perkukuh sistem supaya tidak senang-senang orang boleh dapatkan sijil vaksinasi palsu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberi peringatan kepada orang ramai untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) kerana varian baharu akan terus muncul.

“Amalkan SOP, jangan leka. Jangan ingat semua orang dah vaksin. Sekarang kita jadi ragu-ragu orang sebelah kita vaksin ke tidak.

“Jadi teruskan pakai pelitup muka, ambillah vaksin,” katanya.

Terdahulu, seorang doktor klinik swasta yang disyaki menjalankan kegiatan menjual sijil vaksinasi palsu telah direman.

Media melaporkan, penjualan sijil vaksin palsu itu dipromosikan dan dijalankan secara dalam talian kepada golongan antivaksin selain mengupah beberapa ejen dengan bayaran RM50 bagi setiap pelanggan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, klinik swasta yang mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September lalu menawarkan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada pelanggan.

Sepanjang tempoh itu, lebih 1,900 sijil vaksinasi COVID-19 dikeluarkan kepada pelanggan termasuk dari Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor.

Tiada ulasan: