Rabu, 12 Januari 2022

Pastikan kompas bebas unsur ralat arah kiblat

Oleh AMREE AHMAD
PENENTUAN arah tepat kiblat amat penting kerana perbezaan satu darjah bererti jauh 122 kilometer dari lokasi Kaabah. – MEDIA SOSIAL

PUTRAJAYA: Umat Islam khususnya di Lembah Klang perlu memastikan kompas digunakan untuk penentuan tunjuk arah sebenar kiblat adalah bebas daripada sebarang elemen ralat.

Demikian nasihat Jabatan Mufti Selangor menerusi hantaran terbaharu dalam laman sosial rasminya melalui slot bimbingan Taudih Al-Falaq bertajuk Kiblat: Arah Menghadap Kaabah.

“Penggunaan kompas adalah sesuatu yang popular pada masa ini, namun perlu dipastikan penggunaannya jauh daripada unsur boleh menyebabkan ralat arah. Kelazimannya kompas sering digunakan untuk menunaikan ibadah solat luar masjid atau surau terutama di kawasan yang tiada tunjuk arah kiblat seperti ruang pejabat atau taman awam.

“Ada juga pelbagai aplikasi dalam talian ditawarkan bagi panduan umat Islam, namun kesilapan kecil walaupun cuma satu darjah bersamaan dengan jarak 122 kilometer dari arah Kaabah. Masyarakat Islam negara ini berpegang kepada mazhab Syafie, mereka hendaklah yakin menghadap ‘ain atau sifat fizikal kaabah di Mekah,” jelas jabatan itu.

Perkara itu pernah juga dirungkaikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman slot Al-Kafi li al-Fatawi bilangan 1103 bertajuk Solat Tersasar Sedikit Kiblatnya pada 2019 lalu. Pandangan isu kiblat tersebut pernah dirumuskan dalam kitab masyhur Al-Mu’tamad fi Al-Fiqh Al-Syafie di samping Al-Fiqh al-Manhaji, Kasyifah al-Saja dan Al-Taqrirat al-Sadidah.

“Ini berbeza ulama dari tiga mazhab lagi yang berpandangan bahawa tidak pun wajib hadap ‘ain kaabah jika di luar Mekah tetapi memadai sekadar jihah atau ke arah kaabah. Secara umum, bearing arah kiblat di Malaysia, Brunei dan Singapura berbeza sedikit antara 290 darjah ke 293 darjah dengan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Shah Alam ialah 292 darjah.

“Bagi bangunan tetap seperti masjid atau surau selain ruang solat untuk kegunaan awam, ia perlu mendapatkan pengesahan arah kiblat daripada pihak Jabatan Mufti di negeri berkenaan. Sijil akan dikeluarkan bagi menepis keraguan atau kontroversi yang mungkin boleh berlaku dalam kalangan jemaah sekali gus mencetuskan suasana tenang dan khusyuk ketika solat,” jelasnya.

Untuk Selangor, pemilik premis itu boleh mengajukan permohonan secara atas talian melalui borang rasmi dalam pautan https://www.muftiselangor.gov.my/permohonan-arah-qiblat-falak.

Tiada ulasan: