VARIAN Omicron mungkin petunjuk bahawa pandemik Covid-19 akan berakhir dalam tahun ini, ramal pakar pernafasan di Hospital Vichaiyut Bangkok.
Dalam catatan Facebook, Dr Manoon Leechawengongs berkata, varian Omicron telah bermutasi dengan ketara daripada coronavirus asal dan impaknya jauh lebih ringan.
Menurutnya, Omicron adalah bukti sifat virus, kerana ia menyesuaikan dirinya dengan menghasilkan simptom yang lebih ringan supaya ia tidak membunuh perumah dan boleh hidup di dalamnya selama yang boleh.
Beliau menjelaskan, lambat laun, kebanyakan orang akan dijangkiti dengan varian Omicron tanpa mengira etnik, jantina atau umur mereka.
“Dr Wasan Chantrathit, Ketua Pusat Genomik Perubatan Hospital Ramathibodi dan saya bersetuju bahawa apabila lebih ramai orang mendapat vaksin Covid-19, kami akan mencapai imuniti kelompok terhadap virus menyebabkan wabak itu berakhir tahun ini.
“Terima kasih kepada Omicron, Covid-19 akhirnya akan menjadi jangkitan endemik, dengan kanak-kanak kecil mendapatnya setiap tahun,” kata Dr Manoon sebagaimana lapor The Nation Thailand.
Jangkitan endemik ialah jangkitan yang sentiasa ada pada tahap yang lebih besar atau lebih kecil pada orang dari kelas tertentu atau tinggal di lokasi tertentu.
“Oleh kerana Omicron menghasilkan simptom yang lebih ringan berbanding varian Delta, individu yang diberi vaksin dan dijangkiti kebanyakannya akan mengalami simptom yang tidak berbeza daripada selesema biasa.
“Bagaimanapun, saya amat menasihatkan mereka yang berada dalam kumpulan berisiko seperti warga emas, wanita hamil dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan agar mendapatkan vaksin secepat mungkin.
“Jika anda sudah mempunyai dua suntikan, dapatkan dos penggalak sebelum kebanyakan orang di negara ini dijangkiti oleh varian Omicron dalam satu atau dua bulan berikutnya,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun, pada Khamis memberi amaran supaya tidak menganggap varian Omicron sebagai ringan, dengan mendakwa ia mengakibatkan kematian kepada penduduk dunia.
“Walaupun Omicron nampaknya kurang teruk berbanding Delta, terutama bagi mereka yang divaksinasi, ia tidak bermakna ia harus dikategorikan sebagai ringan,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus
Tiada ulasan:
Catat Ulasan