Utamakan usaha bantu pulih ekonomi yang terjejas akibat banjir
BANGI – Tindakan penangguhan ibadah umrah disifatkan sebagai langkah tepat dan wajar dilaksanakan terutamanya dunia masih bergelut dengan pelbagai varian COVID-19.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, selain faktor COVID-19, keputusan penangguhan itu juga dianggap satu tindakan yang tepat pada masanya susulan beberapa buah negeri telah dilanda musibah banjir.
“Adalah lebih baik keutamaan diberikan kepada usaha membantu memulihkan ekonomi mereka yang terjejas teruk akibat bencana tersebut.
“Pelbagai pihak menyatakan sokongan terhadap keputusan kerajaan menangguhkan perjalanan untuk mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Januari ini.
“Keputusan ini dianggap wajar terutama untuk melindungi jemaah umrah daripada jangkitan varian Omicron yang aktif pada waktu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Penangguhan itu tegas beliau amat bersesuaian dalam keadaan sekarang yang mana rakyat mengalami kesukaran hidup selepas bencana banjir baru-baru ini.
“Keutamaan amat wajar diberikan kepada usaha membantu memulihkan ekonomi mereka yang terjejas teruk.
“Walaupun ada beberapa ulama bersepakat menyatakan kelebihan ibadah umrah, dari sudut lain, umat Islam digalakkan untuk membantu saudaranya yang dalam kesusahan,” tegas beliau.
Katanya, walaupun ulama mempunyai pandangan yang berbeza tentang hukum antara wajib atau sunat yang digalakkan (mustahabbah), namun daripada sudut lain, umat Islam juga digalakkan malah boleh menjadi (hukum) wajib untuk membantu saudaranya yang susah.
“Sebenarnya tiada percanggahan antara dua kewajipan ini. Kedua-duanya penting dan masing-masing ada kelebihannya.
“Cuma dilihat dari segi keutamaan dalam situasi terkini di Malaysia, dalam situasi terkini usaha membantu mangsa bencana banjir amat wajar didahulukan daripada menunaikan ibadah umrah,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan