Langkah tangguh ibadah umrah terpaksa dilakukan
KUALA LUMPUR– Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kes harian COVID-19 mencecah 30,000 sekiranya langkah bagi membendung gelombang varian Omicron tidak diambil.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata justeru, keputusan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu merupakan antara langkah yang terpaksa diambil bagi mengekang penularan varian itu.
“Berdasarkan simulasi KKM, sekiranya kita tidak ambil langkah-langkah pencegahan seperti penangguhan sementara umrah dan kuarantin, kita akan lihat kes melonjak mulai bulan ini hingga Februari dengan lebih 15,000 kes sehari,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata jangkaan itu merupakan unjuran KKM melalui model Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) yang menggunakan kadar kebolehjangkitan (Rt) iaitu masing-masing pada 0.95, 1.2 dan 1.6.
Katanya meskipun jangkitan varian Omicron setakat ini tidak seteruk Delta namun jika kes meningkat sehingga 30,000, kemasukan ke hospital turut meningkat walaupun hanya pesakit kategori satu dan dua.
Mengulas pemberian dos penggalak, Khairy berkata empat pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi dengan kapasiti lebih besar akan mula beroperasi pada 15 Januari iaitu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam dan Soka Gakkai di Klang.
“Semua aktiviti pemberian dos penggalak akan dilakukan menerusi janji temu yang diberikan melalui aplikasi MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata individu boleh menghubungi PPV-GP (klinik pengamal perubatan am swasta) yang disenaraikan di laman sesawang ProtectHealth untuk mendaftar dalam senarai menunggu di klinik terbabit.
Khairy juga berkata setakat ini, 30 peratus populasi dewasa dan 52 peratus warga emas di Malaysia sudah menerima dos penggalak. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan