HASRAT Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan semua parti pembangkang lain menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan hanya menghasilkan kerajaan rojak yang gagal berfungsi.
Demikian pandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ciapan di akaun Twitter rasmi miliknya, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, langkah yang cuba dilaksanakan PH dalam PRN Johor itu adalah pendekatan sama dilakukan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Hasilnya, kata Mohamed Khaled, selepas gabungan pembangkang berjaya memenangi PRU-14, ia hanya menghasilkan kerajaan rojak yang tidak berfungsi dan disifatkan gagal.
“PH mahu kerjasama dengan semua pembangkang hadapi PRN Johor, bukankah itu pendekatan PRU-14.
“Kesannya bila menang dapat kerajaan rojak, kerajaan suku-suku, kerajaan tak berfungsi, kerajaan yang gagal, kerajaan yang ada macam tiada.
“PM (Perdana Menteri) dan MB (Menteri Besar) asyik bertukar,” katanya dalam ciapan tersebut, hari ini.
Semalam, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, gabungan itu memutuskan bahawa semua parti pembangkang termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) perlu bekerjasama menghadapi PRN Johor tidak lama lagi.
Perkara itu dimaklumkan Anwar selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung kira-kira dua jam, semalam.
“Ada beberapa persetujuan awal. Kita akan membuka ruang untuk semua kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil (untuk) memastikan ada perubahan.
“Kalau ada sedikit retak (di kalangan pembangkang), tidak akan membantu. Jadi kita ada satu suara, satu tindakan dan satu strategi untuk memastikan kerajaan Umno BN dikalahkan bermula di Johor,” katanya seperti dilapor portal Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan