Jumaat, 14 Januari 2022

Kerajaan tak berani ‘angkat muka’ depan Dong Zong?

 Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

Perpaduan kaum takkan berlaku dengan adanya vernakular

BANGI – Meskipun kerajaan bersilih ganti, namun masih tidak ada yang berani tampil dalam memastikan negara yang puluhan tahun merdeka ini mencapai perpaduan nasional.

Lebih membimbangkan, sehingga ke hari ini, kerajaan seolah-olah tunduk dan sangat menjaga sekolah vernakular, walhal ia dilihat sebagai batu penghalang kepada perpaduan kaum di negara ini.

Bahkan kerajaan seperti tidak berani ‘mengangkat muka’ di hadapan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong yang menjadi penggerak utama kepada sekolah vernakular ini, dakwa Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim.

“Baru-baru ini pun kita melihat Dong Zong mempersoalkan mengapa peruntukan lambat sedangkan ia bukan satu entiti awam yang perlu kita raikan.

“Jadi keberanian kerajaan inilah yang dirindukan oleh rakyat.

“Keberanian kerajaan ini diperlukan oleh rakyat untuk memastikan batu penghalang yang besar ditinggalkan oleh penjajah dan dikekalkan bangsa Cina hari ini diangkat dan dibuang jauh supaya kita mencapai perpaduan nasional,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Zamani bersetuju dengan pandangan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya bahawa kewujudan sekolah vernakular di negara ini adalah strategi kolonial untuk memecahkan kaum dan menghina bangsa Melayu.

“Saya nampak ada benarnya. Memang kita nampak perpaduan kaum tidak akan berlaku dengan adanya sekolah vernakular ini,” katanya.

Terdahulu, Aminuddin turut menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes saman sekolah vernakular baru-baru ini sebagai penghinaan kepada negara, pemimpin, menteri pelajaran, bangsa Melayu dan bahasa kebangsaan.

Katanya, situasi yang berlaku di Malaysia ketika ini secara tanpa sedar sedang membina sebuah negara di dalam negara.

Tiada ulasan: