Jumaat, 21 Januari 2022

Jumlah kluster pendidikan terus meningkat, 180 lagi positif


Sebanyak 11 daripada 17 kluster baharu yang dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam melibatkan kluster berkaitan pendidikan, dengan 180 individu disahkan positif Covid-19.

Pada Rabu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 16 daripada 20 kluster baharu yang dikesan melibatkan kluster berkaitan pendidikan, membabitkan 304 individu, kebanyakannya pelajar dan pelatih pusat latihan polis, positif Covid-19.

Menerusi kemas kini laman sesawang Covidnow tengah malam tadi, KKM memaklumkan 11 kluster baharu pendidikan itu dikesan di lapan negeri – Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Selangor serta Kuala Lumpur, Kedah, Negeri Sembilan dan Sabah – dengan satu kluster menular di negeri lain.

Menurut KKM dua kluster berkaitan pendidikan dikesan di Pulau Pinang membabitkan Kluster Jalan Berapit di Seberang Perai Tengah melibatkan 12 kes; dan Kluster Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan (lima kes).

Di Kelantan – Kluster Jalan Kompleks di Kota Bharu melibatkan 13 kes; Kluster Jalan Bukit Merbau di Pasir Puteh dan Kota Bharu (sembilan kes); serta Kluster Lorong Banggol Manok, Pasir Mas (sembilan kes).

Sementara itu dua kluster pendidikan dikesan di Perak membabitkan Kluster Jalan Raja Dihilir, Kinta melibatkan 13 kes; dan Kluster Kota Gopeng di Kampar (tujuh kes).

Di Selangor dan Kuala Lumpur – Kluster Seksyen Lima Wangsa Maju di Titiwangsa dan Gombak melibatkan enam kes, sementara di Kedah membabitkan Kluster Dah Teratai Jingga di Kota Setar, Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap dan Baling dengan 18 kes.

Kluster pendidikan juga dikesan di Negeri Sembilan iaitu Kluster Bukit Chengkau Ulu di Rembau melibatkan 72 kes, manakala Kluster Pandan Pandan di Putatan, Sabah pula membabitkan 16 kes.

Sejak minggu pertama 2020 hingga 19 Januari lalu, KKM telah mengesan sebanyak 52 kluster berkaitan pendidikan yang melibatkan 30 sekolah menengah, termasuk 27 daripadanya yang membabitkan sekolah berasrama.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media semalam memaklumkan perhimpunan ramai dalam kalangan pelajar telah meningkatkan risiko penularan jangkitan menyebabkan 15 kluster di sekolah dikesan pada minggu pertama persekolahan.

“Pada minggu kedua persekolahan bilangan kluster pendidikan meningkat sekali ganda kepada 33 kluster. Semua negeri ada melaporkan kluster kecuali Perlis, Terenggau, Sarawak dan WP Labuan.

“Bagi 52 kluster pendidikan yang telah dilaporkan sejak minggu pertama tahun 2022, siasatan mendapati 44 kluster dengan kes indeksnya adalah pelajar, indeks kes adalah guru atau pensyarah bagi lima kluster dan staf sokongan pusat pendidikan bagi tiga kluster lagi,” kata Khairy.

Sehubunga itu katanya, KKM memberi penekanan kepada sektor pendidikan dengan kepentingan untuk saringan gejala pelajar, guru dan staf sebelum masuk ke kawasan sekolah atau institusi.

Selain itu KKM juga memberi penekanan kepada:

  • Pengujian RTK Ag ke atas murid, guru dan staf mengikut strategi pengujian Covid-19;
  • Pemerkasaan ibu bapa untuk memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bergejala; dan
  • Menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan Covid-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa, agar Tindakan pencegahan dapat segera diambil.

KKM juga mengingatkan kepada Pegawai Kesihatan Daerah, sekiranya terdapat kes positif dilaporkan oleh pihak sekolah atau institusi pendidikan, siasatan dan penilaian risiko perlu dijalankan bagi menilai status penularan jangkitan.

Selain itu, tindakan pembersihan dan disinfeksi serta pengesanan kontak perlu dijalankan di samping pelaksanaan aktivi-aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19.

KKM akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam masa terdekat bagi mengukuhkan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan jangkitan Covid-19 di institusi pendidikan.

Tiada ulasan: