Isnin, 17 Januari 2022

Julat bunyi letusan gunung berapi di Tonga bagaikan Krakatau: Saintis

Ancaman tsunami di sekitar Pasifik daripada letusan gunung berapi dasar laut yang besar mula kurang, tetapi awan abu tebal terus menutupi negara pulau kecil Tonga, menghalang penerbangan pengawasan menilai tahap kerosakan akibat ombak yang dipercayai telah membanjiri seluruh bandar.

Video yang dikongsi di media sosial selepas letusan itu menunjukkan orang ramai berlari ke tempat yang lebih tinggi ketika tsunami setinggi satu meter melanda kawasan pantai dan menuju ke pedalaman manakala langit menjadi gelap dengan abu.

Ledakan sonik boleh didengari sejauh Alaska. Ia disahkan Institut Geofizik Universiti Alaska Fairbanks.

Tiada laporan rasmi mengenai kecederaan atau kematian menjelang petang Ahad, dengan komunikasi terhad, selain bantuan telah terputus.

Letusan di Tonga itu mencetuskan gempa bumi berukuran 7.4 magnitud, sangat besar sehingga dapat dilihat dari angkasa lepas dan menyebabkan gelombang tsunami menghempas pantai pulau Pasifik.

Di Amerika Syarikat (AS), ombak sehingga 4.1 kaki direkodkan di Port San Luis pada Sabtu, dan gelombang kesan tsunami direkodkan di sepanjang pantai di California, Oregon, Washington, British Columbia dan Alaska.

Pantai di Chile kosong setelah orang ramai diberi amaran 

tsunami bakal berlaku susulan letupan gunung berapi dasar l

aut di Tonga, ribuan kilometer dari negara itu. – Gambar Reuters

Imej-imej satelit menunjukkan letusan yang menakjubkan dari angkasa dan di sebalik amaran yang teruk, orang ramai berpusu-pusu ke pantai untuk melihat ombak tsunami yang semakin meningkat.

Tonga yang dilanda tsunami sebahagian besarnya masih tidak dapat dihubungi pada Ahad dengan pautan telefon dan internet terputus, meninggalkan saudara-mara di New Zealand yang jauh berdoa untuk keluarga mereka di kepulauan Pasifik kerana laporan mangsa masih belum diterima.

Ombak kesan daripada letusan itu menyebabkan kerosakan kepada bot sejauh New Zealand dan Santa Cruz, California.

Sementara, pantai Pasifik Jepun pula dilanda ombak hari ini, dengan hampir 230,000 penduduk diarah berpindah ke tempat lebih tinggi susulan ancaman tsunami.

Agensi Meteorologi Jepun pada awal pagi tadi mengeluarkan amaran tsunami di wilayah timur laut Iwate dan kepulauan barat daya Amami dan Tokara di Wilayah Kagoshima, meramalkan ombak setinggi 3 meter, tetapi kemudiannya menurunkan amaran kepada nasihat. Semua nasihat itu ditarik balik pada jam 2 petang tadi.

Orang ramai melihat kerosakan yang berlaku di Tutukaka, New 

Zealand setelah marina itu dihempas ombak akibat letusan 

gunung berapi dasar laut di Tonga semalam. – Gambar AP

Saintis New Zealand Marco Brenna, pensyarah kanan di Sekolah Geologi Universiti Otago, menyifatkan kesan letusan itu sebagai ‘agak sederhana’ tetapi berkata satu lagi letusan dengan impak yang lebih besar tidak boleh diketepikan.

“Sebahagian daripada isyarat tekanan dan gelombang di Alaska berada dalam julat yang boleh didengar. Isyarat yang sangat besar tidak mengejutkan memandangkan skala letusan, tetapi aspek kedengaran itu adalah agak unik, ” katanya, memetik saintis Balai Cerap Gunung Berapi Alaska, David Fee.

“Beliau (Fee) mengingati beberapa letusan gunung berapi lain pernah melakukan sedemikian, seperti Krakatau dan Novarupta,” tweet institut itu, merujuk kepada letusan abad ke-19 Krakatau di Indonesia dan Novarupta Alaska, letusan gunung berapi paling kuat pada abad ke-20. – Agensi

Tiada ulasan: