Jumaat, 21 Januari 2022

Gesaan PRN Johor didakwa ada muslihat

Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

KHALID Abd. Samad menghadiri Majlis Peluncuran Jelajah Dahsyat di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI

KLANG: Gesaan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubar dan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan ketika ini disifatkan mempunyai agenda tersembunyi.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad mendakwa, kerajaan negeri dilihat mahu meluluskan dasar tertentu yang memerlukan sokongan majoriti daripada ahli dewan undangan negeri (ADUN), namun tidak mendapat sokongan majoriti.

“Mungkin jumlah ADUN Perikanan Nasional (PN) yang mendapat majoriti tipis menghalang mereka daripada berbuat demikian. Jadi bagi saya, PRN tidak perlu dilakukan kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu mengeluarkan kos menganjurkan pilihan raya sekiranya ia berlaku,” katanya selepas Majlis Peluncuran Jelajah Dahsyat di Hotel Wyndham Acmar, di sini, hari ini. 

Penubuhan program jelajah tersebut adalah bagi mewawarkan usaha yang dilakukan PKR serta Pakatan Harapan (PH) bagi membantu rakyat selain digunakan untuk menjawab segala tohmahan serta dakwaan dilemparkan parti lawan terhadap mereka.

Turut hadir dalam majlis yang disempurnakan Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu adalah, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd. Samad dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan desas-desus Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad akan membuat satu sidang akhbar khas esok dipercayai berkaitan dengan pembubaran DUN Johor. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: