Sabtu, 8 Januari 2022

DPMM minta kerajaan tidak benarkan pengeluaran wang KWSP buat kali ketiga

 Oleh Ahmad Farhan

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyeru kepada kerajaan agar tidak meneruskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat kali ketiga menerusi i-Citra.

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyeru kepada kerajaan agar tidak meneruskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat kali ketiga menerusi i-Citra.

Presidennya, Abdul Halim Husin berkata, pengeluaran wang caruman itu kononnya untuk meringankan beban mangsa banjir baru-baru ini dan musibah Covid-19 dengan jangkitan varian baharu.

Beliau menjelaskan, selain krisis bencana alam, jauh lebih besar dan berupaya memusnahkan kehidupan setiap rakyat Malaysia ialah krisis kemiskinan pada usia persaraan.

Katanya, hal ini kerana,  lebih 80 peratus pencarum aktif KWSP mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000.

“Membenarkan pengeluaran baki simpanan yang tidak seberapa itu bukan sahaja akan menambahkan derita pencarum dengan baki simpanan yang terlalu sedikit apabila mereka bersama, tetapi tetap gagal merungkai masalah kewangan mereka hari ini sebagaimana berlaku ketika i-Citra 1.0 dan i-Citra 2.0.

“Membenarkan pengeluaran juga tidak akan membantu golongan bumiputera kerana walaupun dari segi bilangan mereka adalah kumpulan pencarum terbesar KWSP, tetapi dari segi nilai tabungan, mereka bukanlah sasaran kumpulan yang dapat dibantu dengan i-Citra 3.0,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Halim yang merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menegaskan, lebih memburukkan keadaan apabila pengeluaran tabung amanah simpanan atau pelaburan seperti KWSP berulang kali dibuat sebelum tiba waktu matang.

Ujar beliau, ia akan memberi tekanan kepada KWSP untuk melabur secara lebih terancang di samping menyukarkan mereka untuk menjanjikan pulangan dividen lebih baik kepada pelabur.

“Sebenarnya memang sudah ada kebijaksanaan oleh kerajaan dan KWSP dalam menguatkuasakan larangan mengeluarkan simpanan sebelum tempoh bersara. 

“Kita sedia maklum bagaimana KWSP telah memberikan banyak kelonggaran apabila memecahkan simpanan pencarum kepada tiga akaun untuk memberi fleksibiliti pengeluaran bagi membiayai untuk keperluan mendesak dan asasi tanpa mengganggu simpanan daripada Akaun 1.

“DPMM dengan ini merumuskan bahawa pengeluaran wang simpanan persaraan oleh KWSP tidak boleh lagi diteruskan kerana ia tidak lagi realistik, disamping mendesak kerajaan untuk menggandakan perbagai bentuk bantuan serta pengecualian kepada setiap individu serta isirumah tanpa perlu bertangguh lagi; dan yang lebih penting lagi untuk tidak membenarkan sebarang bentuk eksploitasi terhadap kesengsaraan orang-ramai demi meraih markah politik yang jelek,” tambahnya.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan memohon agar kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan pengeluaran wang i-Citra.

Mengulas lanjut, Abdul Halim memberitahu, pelbagai kaedah bantuan mesti dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan tanpa meletakkan beban tersebut seluruhnya kepada warganegara yang telah banyak berkorban.

Katanya, bantuan tunai atau pinjaman tanpa faedah sebagaimana yang diumumkan Ismail Sabri serta pelaksanaan moratorium automatik merentas agensi oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar harus dipuji dengan gesaan agar kaedah pelaksanaannya dapat dipermudahkan.

“DPMM juga mahu kerajaan meluluskan cadangan untuk meninggikan had bantuan pinjaman tanpa faedah oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada RM25,000 bagi setiap isi rumah, manakala bagi Tekun Nasional pula menaikkan had bantuan mereka kepada RM15,000 untuk setiap peniaga yang terkesan oleh musibah banjir.

“Bagi mendepani krisis ekonomi selepas bersara yang dijangka telah bermula, DPMM mahu kerajaan agar lebih tekad dan berani dalam melaksanakan langkah-langkah ‘pre-emptive’ (awal) yang lebih drastik seperti mewujudkan Skim Pencen Universal serta kajian semula tahap gaji nasional,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim turut mengulangi desakan kepada kerajaan agar menubuh dan menguatkuasakan program Dana Rakyat yang berteraskan konsep wakaf bagi membantu menyediakan modal pusingan munasabah kepada usahawan yang terjejas dengan bencana berganda negara.

Tiada ulasan: