Selasa, 18 Januari 2022

Diupah RM300 bawa 11 PATI mahu jadi pembantu rumah

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
TIGA migran wanita yang diselamatkan nelayan tempatan bersama dua tekong yang membawa mereka dari Batam sebelum karam di Perairan Pulau Pisang, Pontian di Johor.

PONTIAN: Salah seorang tekong yang terselamat dalam insiden bot gentian kaca karam di Pulau Pisang, di sini menceritakan mereka dibayar untuk membawa 11 wanita yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI).

Tekong warga indonesia berusia 30-an itu berkata, mereka diberikan upah sebanyak 1 juta rupiah atau RM300 untuk membawa kesemua wanita itu yang ingin ke Kuala Lumpur.

“Sekiranya cuaca baik, perjalanan dari Batam ke Pontian mengambil masa dua atau satu jam setengah, tetapi cuaca kurang baik malam tadi dan bot kami pecah akibat ombak besar,” katanya.

Mereka dikatakan menjadikan Pontian sebagai lokasi persinggahan sebelum dibawa ke Kuala Lumpur untuk tujuan bekerja sebagai pembantu rumah.

Lelaki itu bersama seorang lagi tekong dan empat wanita diselamatkan sekumpulan nelayan tempatan, manakala tujuh lagi mangsa wanita masih hilang.

Salah seorang mangsa wanita yang terselamat kini berada dalam keadaan kritikal dan dibawa ke Hospital Pontian untuk menerima rawatan lanjut.

Pada 15 Disember lalu, bot gentian kaca membawa kira-kira 50 PATI Indonesia karam ketika menghampiri Pantai Tanjung Balau di Kota Tinggi untuk memasuki negara ini melalui laluan haram.

Dalam insiden itu, 21 daripadanya meninggal dunia, 13 terselamat dan 16 lagi masih hilang sehingga kini ketika turut berdepan cuaca buruk.

Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 11 malam semalam, tujuh PATI Indonesia dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka tenggelam dilanda ombak besar di perairan Pulau Pisang, di sini.

Empat wanita bersama dua tekong berusia 25 hingga 30 tahun itu telah diselamatkan oleh nelayan tempatan dan dibawa ke Jeti Nelayan Pontian Besar.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, hasil maklumat awal, bot yang dinaiki mereka berdepan ombak dan terbalik sebelum karam.

Gerakan mencari dan menyelamat kini dilakukan untuk mencari mangsa hilang melibatkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat Pontian serta nelayan kawasan itu.

Tiada ulasan: