SERAMAI tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Tahan Pahang berdepan detik cemas apabila nyaris lemas setelah bot dinaiki mereka karam semasa mengharungi arus deras jeram sungai, hari ini.
Ketika kejadian di Sungai Tembeling kira-kira pukul 11 pagi itu, kesemua anggota berkenaan dalam perjalanan menghantar bantuan makanan kepada Orang Asli Kampung Aur.
Ketua Misi, Roslan Abu Kassim berkata, beliau bersama adiknya Mizi, 28, serta pemandu bot, Belawak Bajah, 30, dalam misi menghantar barang makanan sumbangan Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) Jerantut.
Menurutnya, mereka terlebih dahulu sempat menghantar makanan ke kampung Orang Asli Teresik dan Orang Asli Tabing.
Namun katanya, untuk sampai ke Kampung Aur, mereka terpaksa melalui beberapa jeram yang deras airnya termasuk jeram panjang.
“Semasa melalui kawasan jeram panjang, arus air begitu kuat sehingga masuk ke dalam bot menyebabkan bot tenggelam.
“Kami terselamat selepas berjaya berenang ke tebing sungai,” katanya.
Mengulas lanjut Roslan, 58, memberitahu, ketika kejadian mereka bertiga memakai jaket keselamatan.
Ujarnya, mereka amat bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu dan tidak menghadapi sebarang kecederaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan